Thursday, October 23, 2008

salam ukhwahfillah..


tinta kasih ..simpulan sayang ..anyaman mahabbah kerana allah..ikhlas untuk kalian daie sahabat seperjuangan..

sahabat,

aku merinduimu teman untuk berjuang...
aku rindukan sahabat untuk berjihad...
kawan senda dan tawa..sadiq untuk sama-sama beribadat..
rakan untuk sama-sama bermuhasabah..
yang sama-sama menuntut ilmu kerana allah..
sama-sama berkerja demi islam..
bersama-sama berkorban demi-nya..
dan saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran..

KONSEP BLOG SAYA....


بسم الله الرحمن ال حيم

Alhamdulillah..setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatlan kapada illahi kerana dengan limpah kurnianya setelah mengalami pelbagai kesulitan akhirnya saya dapat menyiapkan blog saya yang tidak seberapa ini...pada awalnya blog ini dibuat atas dasar untuk melengkapkan kerja kursus "teknologi maklumat Dakwah"yang akan diselia oleh penyarah kursus ini. namun setelah menyelesaikan tugasan ini, satu kesedaran timbul apabila menyedari bahawa betapa pentingnya penggunaan teknologi sebagai medium dakwah kini. justeru saya telah mengambil keputusan untuk meneruskan pembikinan blog ini.

Bertemakan “khazanatul Asrar” yang membawa maksud “khazanah rahsia” blog ini diharap dapat menyimpan sejuta khazanah ilmu yang insya-Allah berguna kepada pengunjungnya.. sebelum kita menyelusuri khazanatul asrar kita perlulah berbekalkan dengan “miftahul munir” iaitu “kunci sinaran” yang menjadi nick name pemilik blog ini..

tema ini dipilih kerana menyedari bahawa dunia ini sebenarnya masih mempunyai banyak lagi khazanah ilmu yang belum kita terokai. isu-isu yang dipilih dalam blog ini sebahagian besarnya adalah sebagai pemangkin semangat dan pengetahuan para pengunjungnya,konsep blog ini juga lebih menekankan kepada konsep harmoni kerana setiap isu yang diketengahkan disertakan dengan gambar dan ilustrasi yang menarik agar ia dapat lebih memberi kesan dan pemahaman kepada pembacanya...

insyaallah ...Sebagai seorang pendakwah atau daie..kita seharusnya berbekalkan dengan sejuta ilmu pengetahuan yang pelbagai, bukan sahaja dalam bidang agama ,namun kita perlu juga menguasai cabang –cabang ilmu lain seperti teknologi maklumat, isu semasa dan sebagainya.. tanpanya kita tidak mampu bersaing dengan pendakyah agama lain dan menjadi daie mithali yang mampu merubah dan menggoncang dunia kini yang semakin ketandusan dan kegersangan dengan suara-suara dan seruan-seruan jihad ke arah kema’rufan.. justeru khazanatul asrar cuba untuk mengetengahkan isu-isu terkini agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya..insyaallah...

kepada para pengunjung blog ini..terima kasih diucapkan..kerana sudi berkunjung dan memberi komen...jazakallahhu ghairan khathiraa..

ISU POLITIK ISLAM: Politik Islam penuh kasih sayang



Hari ini umat Islam menganggap apa yang dikatakan politik itu ialah politik Barat. Ini kerana rujukan mereka pada definasi poltik ialah kepada Barat. Mereka tidak lagi merujuk perkara penting ini kep ada Islam, yakni Al Quran dan Sunnah. Bahkan di kalangan alim ulama dan pejuang-pejuang Islam pun, politik yang mereka faham adalah politik Barat atau sistem politik berpilihan raya.

Bila kita tanya kepada kebanyakkan tokoh politik Islam, mengapa mereka turut serta dalam politik kotor Barat itu, biasanya mereka menjawab, “Tiada pilihan lain.” Ya, seolah-olah secara tidak langsung mereka menganggap Islam tidak mempunyai jalan sendiri dalam soal politik. Seolah-olah Islam tidak sempurna, ia kekurangan cara untuk berpolitik walaupun rata-rata mereka mengaku Islam itu syumul. Rasulullah telah menunjukkan jalan tersebut. Bukankah Rasul lahir di zaman politik jahililah menguasai dunia? Namun baginda tidak pun menyertainya. Tanpa membuat alasan konon tiada pilihan lain, baginda berjuang menampilkan politik Islam, lalu membunuh politik karut itu.

Hari ini Umat Islam mengamalkan politik yang tidak Islamik. Pada mereka itulah politik. Politik tidak Islamik digunakan untuk menegakkan negara Islam. Mereka menghalalkan cara. Mana-mana jemaah atau badan Islam yang tidak terlibat dalam politik Barat yang kotor itu dicap tidak berpolitik. Lalu bertungkus-lumuslah mereka berjuang atas platform yang tidak Islamik itu, yakni politik Barat.

Mereka berjuang secara piliharaya dengan mendaftarkan diri dan kumpulan sebagai parti politik. Untuk memilih pemimpin-pemimpin yang dinamakan wakil-wakil rakyat, mereka menempuh sistem pengundian dan pemilihan dalam tempoh beberapa tahun sekali. Semua lapisan rakyat tanpa kecuali dilibatkan dalam pemilihan pemimpin atau pemerintah. Parti yang calonnya paling ramai memenangi kerusi parlimen, maka parti itulah yang berhak menubuhkan kerajaan. Tanpa mengira lagi cara-cara yang digunakan dalam proses kemenangan yang dicapai sama ada baik atau tidak. Tanpa mengambil kira peribadi-peribadi calon itu sama ada boleh memimpin atau tidak, orang baik atau orang jahat. Tanpa mengenal pasti kemungkinan adanya musuh menyamar.

Dengan tertubuhnya kerajaan, maka dilantiklah jemaah kabinet, senator, anggota dewan senat, pengerusi-pengerusi untuk institusi-institusi penting dalam kerajaan dan melantik duta-duta ke luar negara untuk perhubungan antarabangsa.

Lalu perlembagaan dan undang-undang negara akan menjadi dasar pemerintahan kerajaaan pilihanraya ini dibuat sendiri oleh mereka itu. Kalaupun ada kitab rujukan, tentunya daripada Barat yang mengasaskan politik sekular ini. Sama sekali mereka tidak merujuk kepada Allah dan Rasul, yakni Al Quran dan Sunnah.

Untuk membuktikan kebenaran undang-undang yang dibuat, ianya dibentangkan di parlimen. Kemudian dibahaskan dan diundi. Bilamana dipersetujui oleh majoriti, kerana memang bilangan mereka majoriti, maka akhirnya undang-undang itu disahkan. Kalau ada suara-suara membangkang dari parti pembangkang yang menyuarakan ketidaksetujuan terhadap mana-mana undang-undang, tetap tertolak kerana tidak mendapat sokongan majoriti.

Demikianlah politik yang di puja oleh umat Islam hari ini. Juga oleh pejuang-pejuang Islam dan ulama-ulama. Politik yang menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kemenangan dalam perebutan jawatan. Bukan mereka tidak tahu bahawa cara-cara itu semuanya bertentangan dengan Islam, membeli undi, mengupah “gedebe-gedebe” untuk mengungut mana-mana pengundi yang dijangkan tidak mengundi partinya, menuduh, memfitnah, melarikan peti undi, berbohong, menghina dan sebagainya, yang digunakan oleh calon pemimpin itu, semuanya perkara-perkara haram yang dimurkai oleh Allah. Tetapi mereka halalkan semua itu dengan alasan tiada cara lain. Katanya lagi, nanti bila menang semua itu diharamkan semula.

Begitulah mereka bermain-main dengan Allah SWT demi mencapai kepentingan diri, bukan kepentingan agama Allah. Mereka mengambil sebahagian hukum Allah dan menolak sebahagian yang lain. Mereka melupakan ingatan Allah Taala:

Maksudnya : “Apakah kamu mengambil sebahagian isi kitab dan menolak sebahagian yang lain ? Tiadalah balasan bagi mereka yang berbuat demikian melainkan ditimpakan kehinaan di dunia. manakala di hari Kiamat dicampakkan ke dalam azab yang pedih. Allah tidak lalai terhadap apa yang kamu lakukan.” (Al Baqarah:85)

Orang-orang Islam yang berpolitik cara Barat ini menempuh jalan yang begitu kotor dan silap. Politik kotor digunakan untuk mendapatkan negara Islam, negara yang aman makmur dan mendapat keampunan Allah. Mungkinkah tercapai ? Sedangkan kita semua maklum bahawa kebaikan itu hanya akan didapati dengan cara baik, melalui jalan-jalan yang baik.

Air kalau di hulu sudah keruh, tentunya hilirnya juga keruh. Andaian mereka ialah sekiranya tidak menempuh laluan itu, bagaimana boleh dapatkan negara Islam ? Mereka sebenarnya sengaja tidak mahu mempelajari sejarah bagaimana Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin menegakkan negara Islam.

Lalu dengan sikap-sikap aneh itu, mereka bermusuh dengan jemaah-jemaah Islam yang memulaukan politik Barat yang kotor itu. Konon kerana kelompok itu menafikan satu aspek penting dalam ajaran Islam yakni politik. Mereka seperti tidak tahu bahawa politik Islam itu mempunyai pengertian yang amat berbeza dengan apa yang mereka laksanakan. Mereka hakikatnya tidak berpolitik kerana mengamalkan sesuatu (politik) yang bertentangan dengan Islam.

Ibadah mesti menempuh lima syarat. Kalau satu saja dari syarat-syarat itu tidak dipenuhi, amalan itu tidak akan mendapat pahala ibadah. Politik yang mengikut idea-idea syaitan dan fikiran orang kafir itu sebenarnya tidak diterima di sisi Allah. Lalu hakikatnya perjuangan itu tertolak di sisi Allah. Bahkan diejek-ejek oleh manusia dan dipersoal oleh manusia.

Politik Islam samada yang tersirat atau tersurat, zahiriah atau maknawiah, qat’i atau ijtihad, semuanya ada di dalam Al Quran dan Hadis. Untuk memulakan politik Islam, kita tidak perlu lagi merujuk walaupun seinci pun kepada mana-mana agama atau ideologi. Segala-galanya tersusun indah dan terpampang dalam sejarah. Politik itu walaupun telah pernah punah dilanyak oleh politik Barat, kerana kesalahan umat Islam sendiri, namun Insya-Allah ia mampu bangun semula. Ia akan sekali lagi menguasai dunia bersama kebangkitan Islam kali kedua yang sedang hebat melanda dunia kini.

ISU UNDANG-UNDANG ISLAM: Ringkasan hukum botox, braces, susuk dan bedah plastik


oleh: Ust Hj zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net


Isu Botox telah dibincangkan dan diftawakan oleh Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Muzakarah mereka kali ke-74 bermula pada 25 hingga 27 Julai 2006 telah memutuskan bahawa suntikan Botulinum Toxin Type A atau nama komersialnya Botox adalah haram digunakan kerana ia didapati mengandungi bahan-bahan yang meragukan dan bersifat najis.

Bagaimanapun, ada pihak yang cuba untuk mempertikaikan keputusan itu dengan mengatakan bahawa bahan yang digunakan untuk menghasilkan botox hanya protein, malah bukan protein daripada binatang yang diharamkan, tetapi mungkin namanya melambangkan seolah-olah ia daripada sesuatu yang kotor.

Pihak ini juga cuba mendakwa, dari segi kesihatan, penggunaan botox tidak memudaratkan jika ia dilakukan pihak yang bertauliah dan menggunakan teknik suntikan yang betul. Cuma pihak ini tidak menolak kemungkinan ia akan menimbulkan kesan sampingan jika digunakan berlebihan tanpa pemantauan atau diselia pihak bertauliah. Adalah diakui oleh para pakar bahawa Botox digunakan untuk memperbaiki keadaan muka saja supaya pengguna rasa lebih selesa, bukan untuk mengubah menjadi orang lain.



SEBAB UTAMA BOTOX HARAM

Bagaimanapun isu utama yang menyebabkan ia menjadi Haram pada pandangan Shariah adalah :-

a) Unsur najis dan kotoran di dalam bahan BOTOX ; kajian mendapati botox atau Botulinum Toxin Type A antara lain mengandungi bahan daripada babi, selain wujudnya bahan tiruan yang boleh mendatangkan mudarat.
Dalam Islam, terdapat dalil yang menyebut "Tidak boleh mendatangkan mudarat dan tidak boleh pula membalas mudarat"

b) Pengubahan Ciptaan Allah Tujuan Tambah Kecantikan : Isu mengubah ciptaan Allah SWT terhadap diri seseorang. ISLAM melarang keras sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan cantik atau lebih cantik selain bertujuan kosmetik. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan, ianya adalah harus dilakukan. Jelasnya, tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ tubuh yang rosak akibat trauma kemalangan selain untuk mengembalikan kecacatan kepada kejadian tubuh manusia normal. Dalil yang mengharamkan pembedahan plastik untuk tujuan selain kesihatan adalah berdasarkan ayat 117 hingga 119 surah al-Nisa' iaitu Allah berfirman yang bermaksud:

"Apa yang mereka sembah selain daripada Allah itu tidak lain hanya berhala dan mereka tidak menyembah melainkan syaitan yang durhaka, yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: ‘Demi sesungguhnya aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian tertentu (untuk menjadi pengikutku). Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak) lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah.'

Ulama tafsir memiliki tiga pendapat mengenai takrifan ‘mengubah fitrah kejadian dan apa jua yang sudah ditetapkan Allah' iaitu mengubah bentuk tubuh dan organ haiwan serta manusia; mengubah tugas atau fungsi sesuatu seperti menjadikan batu atau matahari sebagai tuhan dan mengubah syariat Islam iaitu menghalalkan yang diharamkan Allah serta sebaliknya

Terdapat juga hadith yang menyebut :

"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang mentatoo dan minta ditatoo, dan yang mengikir gigi dan yang minta dikikir giginya." (Riwayat Thabarani)

Tatoo, iaitu memberi tanda pada muka dan kedua tangan dengan warna biru dalam bentuk ukiran. Sebahagian orang-orang Arab, khususnya kaum perempuan, mentatoo sebahagian besar dari tubuhnya. Bahkan dimasa pengikut-pengikut agama membuatnya tatoo dalam bentuk persembahan dan lambang-lambang agama mereka, misalnya orang-orang Kristian melukis salib di tangan dan dada mereka.

Perbuatan-perbuatan yang buruk menjadi semakin besar pengharamannya apabila ia dilakukan dengan menyiksa dan menyakiti badan, iaitu dengan menusuk-nusukkan jarum pada badan orang yang ditatoo itu. Semua ini menyebabkan laknat, baik terhadap yang mentatoo ataupun orang yang minta ditatoo.



KIKIR GIGI DAN ‘BRACES'

Dan yang disebut mengikir gigi dalam hadith di atas, iaitu merapikan dan memendekkan gigi. Biasanya dilakukan oleh perempuan. Karena itu Rasulullah melaknat perempuan-perempuan yang mengerjakan perbuatan ini (tukang kikir) dan minta supaya dikikir. Kalau ada laki-laki yang berbuat demikian, maka dia akan lebih berhak mendapat laknat.

Termasuk diharamkan seperti halnya mengikir gigi, yaitu menjarangkan gigi. Dalam hal ini Rasulullah pernah melaknatnya, yaitu seperti tersebut dalam hadisnya:

"Dilaknat perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Yang disebut ‘al-Falaj', yaitu meletakkan sesuatu di sela-sela gigi, supaya nampak agak sedikit jarang. Di antara perempuan memang ada yang oleh Allah dicipta demikian, tetapi ada juga yang tidak begitu. Kemudian dia meletakkan sesuatu di sela-sela gigi yang berhimpitan itu, supaya giginya menjadi jarang. Perbuatan ini dianggap mengelabui orang lain dan berlebih-lebihan dalam berhias yang samasekali bertentangan dengan jiwa Islam yang sebenarnya. Perlu diingat, hal menjarangkan gigi ini adalah ‘trend' Jahiliyah di zaman Jahiliyah dan ia dianggap cantik. Adapun pada hari ini, kebanyakkannya sudah menukar ‘style' mereka kepada merapatkan gigi menggunakan ‘braces' (http://en.wikipedia.org/wiki/Dental_braces) yang yang bertujuan MENCANTIKKAN susunan gigi. Ketika itu, hukum haram yang sama jatuh pada perbuatan merapatkan gigi bagi tujuan kecantikan. Adapun jika ia dilakukan bagi inidivud yang mengalami kemalangan dan bertujuan mengubatnya, ia menjadi harus.

Dari hadis-hadis yang telah kita sebutkan di atas, maka kita dapat mengetahui tentang hukum pembedahan kecantikan seperti yang terkenal sekarang kerana bagi memnuhi selera nafsu dan syahwat, iaitu kebudayaan Barat yang amat materialististik, sehingga begitu ramai perempuan dan laki-laki yang mengorbankan wangnya beribu-ribu untuk mengubah bentuk hidung, payudara atau yang lain. Semua ini termasuk yang dilaknat Allah dan RasulNya, karena di dalamnya terkandung penyiksaan dan perubahan bentuk ciptaan Allah tanpa ada suatu sebab yang mengharuskan untuk berbuat demikian, melainkan hanya untuk pemborosan dalam hal-hal yang bersifat ‘show' dan lebih mengutamakan pada bentuk, bukan inti, lebih mementingkan jasmani daripada rohani.

Bagaimanapun Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut : "Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran" (Al-Halal wal Haram Fil Islam )

c) Unsur Penipuan : Mengandungi unsur penipuan yang diharamkan Islam.
Selain itu, syariat turut mengharamkan perubahan yang memiliki unsur-unsur penipuan sama ada menerusi pembedahan plastik atau penggunaan produk kosmetik botox yang menukarkan wajah yang tua kepada muda.

Tujuan Shariah dalam hal larangan penipuan seperti ini boleh difahami dengan jelas dari hadith Nabi SAW :

"Tukarlah ia (warna rambut, janggut & misai ) dan jauhilah dari warna hitam" (Shohih Muslim)

Hadith larangan ini menunjukkan kepada larangan penipuan umur, ini kerana uban yang dihitamkan bertujuan kelihatan lebih muda. Justeru, tidak kira dari kalangan lelaki mahupun perempuan. Ia dilarang oleh Islam. Hal ini samalah seperti botox yang biasanya digunakan oleh wanita atau lelaki yang kulitnya sudah kelihatan tanda ketuaan, bagi mengekalkan rupa mudanya, maka mereka melakukan botox dan lebih teruk lagi susuk.

SUSUK & SIHIR

Adapun pemakaian susuk, ia dianggap lebih berat kerana ia biasanya melibatkan ilmu sihir. Susuk juga dipakai di tempat tertentu seperti muka, badan, malah kemaluan dan jika ada yang mendakwa menggunakan ayat al-Quran, jelas bertentangan dengan Islam. Melihat kepada apa yang didakwa (menggunakan ayat al-Quran), ia sama seperti bomoh melakukan jampi tetapi mendakwa menggunakan ayat al-Quran.

Tentang pembelajaran ilmu sihir, al-Quran mengatakan:

"Mereka belajar suatu ilmu yang membahayakan diri mereka sendiri dan tidak bermanfaat buat mereka." (al-Baqarah: 102)

Rasulullah s.a.w. menilai sihir sebagai salah satu daripada dosa besar yang boleh menghancurkan sesuatu bangsa, dan dapat merendahkan derajat pelakunya di dunia ini lagi. Justeru itu Nabi bersabda:

"Jauhilah tujuh perkara besar yang merusak. Para sahabat bertanya: Apakah tujuh perkara itu, ya Rasulullah? Jawab Nabi, yaitu:
1) menyekutukan Allah;
2) sihir;
3) membunuh jiwa yang oleh Allah diharamkan kecuali karena hak;
4) makan harta riba;
5) makan harta anak yatim,
6) lari dari peperangan;
7) menuduh perempuan-perempuan baik, terjaga dan beriman." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ahli fiqh menganggap, sihir itu bererti kufur, atau membawa kepada kufur. Sementara ada juga yang berpendapat; ahli sihir itu wajib dibunuh demi melindungi masyarakat dari bahaya sihir.

Al-Quran juga telah mengajar kita supaya kita suka berlindung diri kepada Allah dari kejahatan tukang sihir, yaitu firmanNya:

"(Dan aku berlindung diri) dari kejahatan tukang meniup simpul." (al-Falaq: 4)

Peniup simpul salah satu cara dan ciri yang dilakukan ahli-ahli sihir. Dalam salah satu hadis dikatakan:

"Barangsiapa meniup simpul, maka sungguh ia telah menyihir, dan barangsiapa menyihir maka sungguh dia telah berbuat syirik." (Riwayat Thabarani dengan dua sanad; salah satu rawi-rawinya adalah thiqah)

Susuk ini ada persamaannya dengan peniup simpul ini, iaitu dijampi susuk itu dan kemudiannya di masukkan ke dalam tubuh.

Jelas, bahawa pemakaian susuk amat mampu mempengaruhi seseorang itu agar mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah. Ini juga telah diharamkan melalui hadith-hadith yang sohih sebagaimana pengharaman kepercayan kepada tangkal dan menggantungnya.

Pemakai susuk akan mula percaya dan seterusnya bergantung kepada susuk digunakan dalam kehidupan hariannya. Ketika itu, jelas mereka dalam keadaan syirik dan menanggung dosa besar.
Islam tidak menghalang umatnya kelihatan cantik, malah menggalakkan umatnya menghias diri, namun ia perlu mengikut cara dibenarkan dan tidak membabitkan perbuatan syirik seperti memakai susuk mahupun pembedahan plastik dan botox.

KESIMPULANNYA

Botox atau pembedahan plastik yang dibenarkan ialah jika tidak
· dilakukan akan mendatangkan mudarat kesihatan kepada individu, mengembalikan kecacatan kepada bentuk kejadian manusia normal. Manakala susuk tidak dibenarkan sama sekali.

Tujuan yang tidak dibenarkan adalah untuk kelihatan lebih cantik dari
· apa yang dianugerahkan, pembedahan mendatangkan lebih bahaya dan memudaratkan.

Syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam: memiliki keperluan tidak
· bercanggah syariat untuk melakukan pembedahan; untuk tujuan kesihatan semata-mata dan tiada niat lain; mesti diakui doktor Islam dan pakar dalam bidang itu; doktor yakin pembedahan boleh berjaya dilakukan tanpa risiko bahaya dan mudarat; mendapat persetujuan pesakit dan wali.

Peraturan umum kecantikan Islam: tidak mengubah ciptaan Allah; tidak
· memudaratkan diri seperti kesakitan pada tubuh atau bertambah beban kewangan; tiada unsur penipuan atau untuk membanggakan diri; tidak membazir; tiada unsur najis; tidak menyerupai jantina berlainan; tidak menyerupai orang kafir dan fasik; wanita hanya berhias untuk suami dan mahramnya saja; mengikut syarat pembedahan kosmetik dibenarkan Islam.

Jika botox itu menggunakan bahan suci sekalipun, ia tetap haram kerana dua ‘illah ( sebab utama) pengharaman masih ada.

Saturday, October 18, 2008

ISU PENGHAYATAN ISLAM: Jangan Merajuk Wahai Da'ie



Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa... Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah... Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...
"Nabi Yunus menyeru pada kaumnya Sembahlah Allah Yang Maha Esa Tinggallah berhala yang tidak bernyawa Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima Nabi diejek dan Nabi dihina Baginda tidak berputus asa Walau dicaci walau dihina Akhirnya Nabi merasa hampaUmatnya masih menderhaka Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri Kapal pedagang Baginda menumpang Membawa diri ke rantau orang Malangnya laut bergelombang Hampir karam ditengah lautan Bila diundi Nabi merelakan Terjun ke laut penuh bergelora Baginda ditelan ke perut Ikan Nun Gelap gelita tidak terkira Sedarlah baginda akan silapnya Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa Menangislah Nabi penuh duka Memohon Ampun dari Tuhannya"

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali… Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan. Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:

"Dan tidaklah Kami mengutus kamu melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: "Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya" (Al-Furqan:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:

"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim" (Al-Anbiyaa':87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan…

Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...

ISU PENDIDIKAN ANAK-ANAK : BERHATI-HATILAH DALAM MENDIDIK MANUSIA


Untuk menjadi seorang manusia yang baik, mustahil ia berlaku secara kebetulan. Walaupun Allah sudah membekalkan kepada manusia sifat-sifat fitrah semulajadi yang baik, tetapi bekalan itu tidak mencukupi untuk membenteng manusia dari berlaku baik kerana terlalu banyak cabaran serta godaan dunia yang mendatang. Ditakuti bila dicabar, bekalan yang dibekalkan oleh Tuhan kepada manusia akan habis. Sebab itulah manusia tidak boleh hanya mengharapkan bekalan yang Allah kurniakan sahaja.Di samping bekalan yang ada manusia juga boleh menjadi baik hasil dari didikan.


Kalau begitu, untuk mendidik anak-anak serta keluarga, maka suami atau pemimpin di dalam rumahtangga mestilah memainkan tugasnya sebagai pemimpin untuk mendidik anak-anak serta isterinya. Jarang kita mendengar sesebuah keluarga berjaya secara kebetulan tetapi ia mesti bermula dari didikan yang berterusan.Adalah menjadi satu kesilapan besar, setelah mengetahui masalah yang dihadapi oleh anak-anak, baru ibu bapa hendak membetulkannya. Ibarat nasi sudah menjadi bubur. Sudah tersilap langkah, baru hendak dibaiki. Itu satu kesilapan besar. Di dalam Islam untuk membentuk sebuah keluarga yang baik, bukan difikirkan setelah pasangan anak teruna dara itu berumahtangga. Tetapi ia difikirkan sejak anak teruna dan dara itu masih bayi lagi.

Silaplah kalau ada yang berfikir, bila dah menimang anak baru nak fikir tentang pendidikan anak-anak. Itu sudah terlambat. Mengapa?

Kerana sumber didikan, sumber kasih sayang, sumber anak-anak boleh taat dan hormat kepada ibu bapa adalah berpunca dari sumber kerana rasa takut dan cinta kepada Tuhan. Sebab itu sejak kecil lagi mesti ditanam rasa takut dan cinta kepada Tuhan agar anak-anak nanti menjadi anak yang bertanggung jawab, amanah, jujur, berkasih sayang, pemurah, pemaaf, suka bertolak ansur, tolong menolong dan sebagainya.Dari rasa `takut` dan `cinta` terhadap Tuhan yang diadun pula dengan syariat Tuhan, itulah modal untuk membangunkan sebuah keluarga. Dari situ pula menjadi modal terbangunnya sebuah masyarakat, seterusnya sebuah negara dan empayar di dunia. Kalau perkara yang asas itu tidak disiapkan sejak ia masih bayi lagi, tiba-tiba bila sudah ada keluarga baru nak bertanggungjawab, bukan sahaja anak-anak dan isterinya sendiri yang menjadi cabaran. Itu merupakan cabaran yang kedua. Tetapi cabaran yang pertama dan utama ialah dirinya sendiri. Disebabkan tidak ada rasa takut dan cintakan Tuhan di dalam diri, dia sendiri gagal menjadi pemimpin, ayah atau suami yang baik di dalam keluarga tersebut.Mustahil seseorang boleh mencurahkan kasih sayang dan memberi kebahagiaan kepada orang lain sedangkan dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia. Mana mungkin seorang ayah nak memberi kebahagiaan kepada anak-anak dan isterinya sedangkan dia sendiri pun tidak bahagia. Mana mungkin seorang pemimpin dapat memberi kebahagiaan kepada rakyatnya jika dirinya sendiri pun tidak merasa bahagia.Sebab itu, kalau anak-anak yang menjadi masalah, bukan mereka yang harus dipersalahkan tapi kedua ibu bapa merekalah yang bersalah. Kalau ada pasangan teruna dara yang nak berkahwin, satu kesilapan yang besar jika mereka hanya memikirkan perkahwinan hanya untuk menyelesaikan tuntutan fitrah (tuntutan biologi) sahaja. Hampir 99.9 % yang hendak berkahwin hanya untuk memuaskan tuntutan nafsu sahaja. Kasih sayang antara suami isteri yang lahir hasil dari tuntutan fitrah sahaja, ia akan luntur. Bila sakit, kurang menawan, kurang bertenaga dan sebagainya, maka akan lunturlah kasih sayang antara mereka. Si suami atau isteri akan mencari pasangan yang lain untuk menyempurnakan tuntutan fitrah mereka pula.Kalau begitu, setiap pasangan suami isteri yang berkahwin mesti difahamkan tujuan dan matlamat mereka berkahwin.

"Berkahwin bukan semata-mata melepaskan tuntutan fitrah sahaja tetapi ada cita-cita untuk perjuangan Islam."

Bila ada cita-cita ini, barulah kedua pasangan suami isteri akan bertanggungjawab dan amanah untuk mendidik anak-anak sejak kecil sepertimana yang digariskan oleh syariat Islam. Nanti akan terbangunlah daulah Islamiah di dalam sebuah rumahtangga. Bila ada daulah Islamiah di dalam rumahtangga akan lahirlah keharmonian di dalam rumahtangga tersebut. Gabungan rumahtangga yang harmoni inilah akan membentuk sebuah masyarakat Islam yang harmoni. Seterusnya gabungan masyarakat yang harmoni ini pula akan terbangun sebuah daulah Islamiah.Barulah kita sedar sekarang sebenarnya masalah yang dibuat oleh anak-anak bukan berpunca dari diri mereka tetapi berpunca dari masalah kedua ibu bapa mereka yang tidak dididik secara Islam. Persiapan perlu dibuat dari awal lagi agar hasilnya benar-benar memberi hasil yang lumayan. Umpama seorang petani yang hendak menanam padi. Tanpa disemai, dikawal, dijaga benih tersebut, mana mungkin boleh memberi hasil padi yang banyak. Ditakuti padi tak berisi (sambang). Atau kerana tak jaga, padi dimakan burung.


Justeru itu pendidikan anak-anak harus difikirkan dan menjadi tanggungjawab bersama untuk menanamkan rasa takut dan cinta kepada Tuhan sejak mereka kecil lagi.Di dalam ajaran Islam manusia itu boleh jadi dewasa (baligh) paling cepat 9 tahun, paling lambat 15 tahun. Ertinya manusia boleh jadi dewasa sekitar 9 -15 tahun. Maksud dewasa di sini bukan sahaja fizikalnya atau tubuh kasarnya bahkan keempat anasir di dalam badan ikut dewasa sama akalnya, nafsunya dan rohnya.Buktinya fizikal manusia setelah dewasa sekalipun berumur 9 - 15 tahun jika dia berkahwin sudah ada nafsu dan boleh dapat anak. Akal ikut dewasa kalau mendapat pendidikan yang tepat. 9 - 15 tahun sudah boleh menjadi alim dan orang yang bertanggungjawab bahkan boleh menjadi profesor atau doktor falsafah, boleh hafaz Al Quran, dan hafaz ribuan Hadis.Begitu juga nafsunya akan ikut dewasa jika dididik dengan betul dan tepat. Berumur 9 - 15 tahun seseorang boleh memiliki setidak-tidaknya mendapat nafsu mulhamah.Seterusnya roh manusia boleh dewasa mengikut tubuh kasarnya dewasa. Berumur 9 - 15 tahun kalau cukup asuhannya, rohnya boleh menjadi bercahaya dan boleh mendapat hidayah dan dapat firasat dari Tuhan dan boleh menjadi orang bertaqwa.Selama ini yang sangat dijaga jasad lahirnya sahaja, tiga anasir lagi tidak diendahkan. Ia diberi makan yang cukup, dijaga kesihatannya, dijaga kesuburan pertumbuhan badannya. Maka badan lahirnya pun segera subur dan dewasa, 10 atau 12 tahun dia sudah baligh atau matang. Malangnya tiga anasir lagi dibiarkan tidak dididik, bahkan tidak dipedulikan iaitu akal, nafsu dan rohnya.Oleh yang demikian seseorang itu sudah tidak seimbang lagi di dalam dirinya. Di waktu badan kasar dewasa, badan halus atau rohaninya tidak dewasa, bahkan masih bersifat keanak-anakan. Akal, nafsu dan rohnya masih keanak-anakan, badan kasarnya sudah boleh melahirkan anak dan boleh menjadi ibu dan bapa. Jasad lahirnya sudah boleh membuat tugas besar, jasad batinnya belum mampu bertugas besar dan penting akibat daripada sistem pendidikan yang tidak tepat dan tidak seimbang.

Di samping para pendidik, ibu bapa, guru-guru, penjaganya tidak faham mengimbangkan empat anasir di dalam diri manusia.Maka terjadilah empat anasir di dalam diri manusia tidak serentak dewasa bersama tubuh kasarnya. Yang punya diri pun rugi, negara dan bangsa pun ikut rugi kerana manusia itu adalah aset negara dan bangsa. Cara umat Islam belajar di zaman ini sudah tersalah dan tersilap. Mereka mendapat ilmu sangat terbatas. Ilmu hanya didapati di tempat pengajian atau di sekolah rasmi semata-mata.Padahal di sekolah hanya ilmu teori bukan praktikal untuk kehidupan sehari-hari manusia.Inilah akibat sistem pelajaran yang salah dan tidak berhati-hati dilagang. Belajar di luar sekolah di dalam kehidupan tidak dapat sijil dan ijazah tidak perlu ambil pelajaran dan perhatian lagi. Hanya sanggup belajar semata-mata di mana boleh dapat tauliah kalau tidak tak payah. Padahal ilmu lebih banyak lagi dapat dari kehidupan bukan dari sekolah dan di pengajian tinggi.Belajar dengan mendengar, melihat berbagai-bagai perkara kalau diperhati lebih banyak dapat daripada di sekolah dan di institusi. Pergi melihat laut, pandang dengan bersahaja tidak dapat apa-apa. Melihat kehidupan nelayan, pandang tanpa membaca tidak dapat pelajaran darinya. Melihat gunung-ganang, bukit-bukau, hutan belantara tidak dapat pelajaran memandangnya kerana pergi itu semata-mata berhibur bukan hendak mengetahui kejadian dan sifat-sifatnya maka tidak dapat apa-apalah.Pergi ke padang pasir melihat kehidupan orang-orangnya pandang bersahaja tidak pun mengambil pelajaran daripada kehidupan mereka, tidak dapat ilmulah darinya. Pergi hanya buang-buang masa yang dapat hanya letih sahaja adakalanya pergi secara escapism, mengubat jiwa yang derita. Maka tentulah tidak dapat pelajaran daripada melihatnya.Pergi ke bendang dengan kehidupan orang-orangnya tidak pun diperhati dengan akal hingga dapat pelajaran darinya hanya pandang dengan mata semata-mata tidak pun difikirkan apa yang dilihat tidak dapat pelajaranlah darinya.Pergi ke kampung, pergi ke pekan, juga ke bandar pandang tidak mengguna otak bagaimana cara hidup, budaya mereka tentu tidak sama, mengapa tidak sama, mesti ada jawapannya jika mengguna otak kita pergi hanya dapat berhibur melihat semata-mata, rahsia kehidupan mereka tidak dapat dibaca.Padahal kalau dilihat dengan akal banyak ilmu dan pelajaran daripada kehidupan mereka. Begitulah kalau dasar pelajaran dilagang dengan tujuan semata-mata matlamat makan gaji. Mana yang tidak ada kena-mengena dengan makan gaji apa yang dilihat tidak diambil peduli. Ilmu macam ini tidak termasuk di dalam sukatan pelajaran negara. Kalau periksa tidak akan dipersoalkan apa perlu diambil perhatian, yang dipentingkan apa yang dipelajari sahaja di dalam peperiksaan dipersoalkan. Siapa yang berjaya mendapat kelulusan yang tinggi dapat pujian. Setakat itu sahajalah yang dikatakan oleh para pemimpin dan guru cemerlang, gemilang dan terbilang. Ilmu-ilmu tambahan selain di sekolah tidak diberatkan dan tidak digalakkan seolah-olah ilmu itu semata-mata di sekolah dan di tempat pengajian. Kerana itulah kelulusan tinggi ilmunya singkat sekali tidak boleh diharapkan. Ilmu hanya dapat di pengajian tinggi selain itu tidak dapat ilmu kerana tidak ambil peduli.Kemudian mengharapkan bangsa maju, cemerlang gemilang dan terbilang. Ilmu tidak boleh semata-mata diikatkan dengan makan gaji tidak kena-mengena pun dengan makan gaji, ilmu kenalah kaji dan dicari.Sumber ilmu bukan semata-mata di tempat belajar dan mengaji kalau kita suka mengkaji dan menggali, ilmu di mana sahaja boleh didapati. Orang Melayu konsep menuntut ilmu sudah disalah erti. Ilmu dicari hanya sekadar untuk keperluan makan gaji, ia adalah satu pandangan dan fikiran yang sudah basi.Kalau dari kecil sudah salah terima pengajaran dan didikan.Pengajaran dan didikan tidak lagi bertunjangkan iman dan ketuhanan maka manusia akan tersalah berfikir,jiwa manusia akan rosak fitrahnya. Dirosakkan oleh cara berfikirnya sejak dari kecilnya. Apabila fikrah sudah sebati dengan keyakinan yang tidak bertunjangkan iman, jiwa pula hitam dengan mazmumah disebabkan ajaran yang diterimanya. Kalau ia menjadi pengajaran dan didikan rakyat umum. Aduh, punahlah satu bangsa di dalam sebuah negara. Punahnya memakan masa paling tidak puluhan tahun kalaupun tidak ratusan tahun.Jika ia telah menjadi fikrah dan jiwa satu bangsa bukan senang hendak dipulihkan semula. Biasanya ia akan pulih manakala Allah Taala utuskan di kalangan mereka pemimpin yang dijanjikan atau pemimpin yang ditunjuk oleh Tuhan.


Kerana itulah setiap pendidikan dan pengajaran yang hendak dijadikan warisan bangsa hendaklah berhati-hati dan penuh teliti. Kerana kalau tersilap dari mula mengasaskannya, oleh kerana kesilapan pemimpin-pemimpin bangsa itu. Rosak binasalah bangsa itu hingga beberapa generasi hendak membetulkannya semula terpaksa makan masa berpuluh atau beratus tahun lamanya.

ISU PENUNTUT ISLAM DI IPT: KRISIS AKHLAK PELAJAR IPT TUNTUT KOMETMEN BARU





Sufiah Yusof, pelajar pintar dari Universiti Oxford yang dikatakan tergelincir akhlaknya sebenarnya sudah lama menjalar di kalangan pelajar di kampus negara ini. Sesetengah mereka cemerlang dan baik ketika di sekolah, namun tewas ketika di universiti. Ada yang bertukar watak dan perangai hingga merisaukan ibu bapa di kampung.Ada yang beranggapan universiti sebagai jalur sempadan memisahkan keperluan mendalami bidang akademik dan agama.

Bagi mereka ilmu fardu ain berhenti setakat zaman sekolah dan di universiti mula belajar ilmu fardu kifayah.Ilmu berkaitan akidah, fiqah dan akhlak sudah belajar ketika zaman sekolah, maka zaman kampus harus tumpukan subjek akademik universiti saja. Dengan merangkul segulung ijazah, mereka menggunakannya untuk mencari wang dan pekerjaan.


Dalam buku Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Sempurna, tulisan Prof Wan Mohd Nor Wan Daud ada mengungkapkan bab yang penting iaitu Peranan Pendidikan Islam di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).Bagi Prof Wan Mohd Nor, peringkat universiti cukup genting untuk menyusun dan memantapkan kefahaman Islam seseorang. Jika ketika peringkat tertinggi ini tidak diberi perhatian, ramai akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.Akibatnya sudah boleh diperhatikan di sekeliling kita, apabila ramai menjadi mangsa 'kekejaman' zaman universiti yang tidak mengenal mangsa. Putaran 'kejam' ini bertambah garang tatkala semakin ramai pelajar kehilangan pedoman diri.Seharusnya jika individu belajar agama di sekolah menengah, sentiasa menjaga solat dan berakhlak baik, ia boleh berkekalan sehingga ke peringkat universiti dan sampai bila-bila.Namun, iman manusia tidak ada jaminan boleh kekal tanpa sikap istiqamah dalam agama. Untuk mengekalkan iman dalam diri, ia memerlukan ilmu dan sistem yang kemas.Kerana itulah Prof Wan Mohd Nor membuktikan bahawa Baginda Rasulullah SAW benar-benar diberi amanah menyampaikan wahyu ketika peringkat umur dewasa iaitu 40 tahun.Ini mesej yang signifikan bahawa konteks umur yang matang sudah bersedia menerima amanah agama itu. Dalam konteks pengajian di universiti, seharusnya ada satu sistem berterusan membina keperibadian pelajar berdasarkan agama.Apa yang ada hari ini ialah, universiti semacam melepaskan tangan dalam aspek pendidikan agama.Seharusnya Kementerian Pengajian Tinggi menyusun dengan kemas proses pendidikan Islam yang sesuai dengan usia warga kampus. Kemungkinan setiap universiti mempunyai cara dan kaedah berbeza, namun semestinya setiap universiti mempunyai hala tuju yang sama dalam pendidikan Islam.Ini cabaran kementerian berkenaan hari ini kerana universiti bukan sekadar pusat ilmu yang berdiri kerana bangunan fizikal yang cantik dan besar, sebaliknya pemain utama universiti ialah pelajarnya dan sistem pendidikan yang kemas untuk pelajar.

Isu kemerosotan akhlak memang ada kaitannya dengan kurangnya susunan sistem pendidikan Islam yang kemas kepada pelajarnya. Selain kursus pengajian Islam yang ditawarkan, pelajar akan menghadap 90 peratus pengajiannya tanpa elemen tambahan pendidikan Islam yang kemas.Mereka akan menghadiri secara sukarela kuliah di masjid dan mana-mana ilmu untuk mendapatkan ilmu agama. Ini juga bukan bermakna semua pelajar pengajian Islam bebas daripada masalah moral, namun ia masih minimum dan jika ada pun bukan faktor pendidikan Islam itu, tetapi faktor peribadi yang bermasalah.Perkara asas yang menjadi jalur minimum untuk dijadikan teras ialah supaya pelajar mempunyai pandangan alam yang Islami. Ini adalah subjek yang umum dan menjadi kerangka asas dalam memahami agama.Ia ramuan ilmu tauhid, fikah dan akhlak yang diadun supaya membentuk kerangka memahami agama.Untuk mewujudkan keghairahan pembentukan sistem pendidikan Islam yang kemas dan berkualiti, ia memerlukan komitmen budaya ilmu dan berjiwa besar. Jika universiti sendiri mengambil sikap tertutup dan antiilmu, maka agak sukar untuk merealisasikan impian ini.Sebenarnya faktor kemerosotan akhlak dan miskinnya komitmen untuk mendirikan sistem pendidikan Islam yang kemas, berkait rapat dengan ranking universiti pada peringkat antarabangsa.

Badan Pemikir Nasional Mengenai Pendidikan (National Brains Trust on Education) berkata, Malaysia perlu menubuhkan beberapa pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan untuk melahirkan tenaga kerja kelas dunia bagi menghadapi cabaran globalisasi.Prof Wan Mohd Nor juga berkata, kecemerlangan pada peringkat IPT bergantung kepada beberapa faktor utama berkaitan, iaitu:

l . Kecemerlangan bergantung kepada kualiti ilmiah dan akhlak serta kewibawaan pimpinan tertinggi daripada peringkat Rektor/Naib Canselor, profesor, dekan, sehinggalah kepada pensyarah.
2. Kemudahan penyelidikan yang tercermin pada khazanah perpustakaan, kemudahan ICT dan dana penyelidikan dan pembangunan.
3. Iklim dan budaya ilmu yang tinggi.
4.Pelajar yang layak dan gigih.
5.Ganjaran ekonomi yang setimpal dengan pengorbanan dan kelayakan ahli akademik, pentadbir dan pelajar.
6. Sokongan dan kepercayaan kerajaan secara berterusan terhadap kecemerlangan keilmuan jangka panjang dan jangka pendek.

Kesimpulannya, kementerian berkenaan harus serius mendirikan komitmen baru dengan menyusun sistem pendidikan Islam yang kemas pada peringkat universiti. Jika program seperti Biro Tatanegara (BTN) boleh diagendakan sebagai indoktrinasi mental pelajar, maka pendidikan Islam semestinya wajib dilaksanakan.Malah, proses ini memerlukan komitmen budaya ilmu secara menyeluruh supaya agenda mendidik generasi terpelajar ini daripada menjadi korban 'putaran kejam' sistem universiti dapat diselamatkan. Budaya ilmu lahir jika ada komitmen tinggi daripada pemerintah dan kementerian. Pendekatan top-down sangat relevan dalam konteks ini.Kementerian juga boleh manfaatkan institusi agama untuk mengadakan latihan kefahaman Islam kepada pemimpin atasan universiti dan pemimpin pelajar kampus.Latihan intensif ini mensasarkan kefahaman akan pandangan alam yang Islamik. Institusi agama ini seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan institut pemikir yang tiada kepentingan politik boleh dimanfaatkan.

INTI PATI

# Jika pendidikan agama tidak diberi perhatian ramai akan kecundang akibat arus deras kejutan budaya dan faham sekularisme yang masih menebal dalam disiplin akademik universiti.

# Tiada jaminan keimanan yang kukuh ketika di sekolah akan kekal hingga ke universiti tanpa sikap istiqamah dan pembelajaran yang berterusan.

# Universiti perlu memperkemas sistem pendidikan Islam sesuai usia penuntut sebagai benteng mempertahankan moral dan akhlak warga kampus.

# Kementerian dan universiti perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyusun sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan graduan berpendidikan dunia dan akhirat.


Penulis ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

ISU AKHIDAH ISLAM : Black Metal Mengancam Akidah Umat Islam



Black Metal adalah satu gejala yang sedang merebak dalam masyarakat Malaysia, khususnya di kalangan remaja di beberapa buah negeri di sebelah Utara Semenanjung Malaysia. Gejala ini ada kaitan dengan pengaruh internet, filem, muzik dan sebagainya merupakan anasir-anasir yang memberi makanan jiwa dan menusuk masuk ke dalam hati nurani mereka sehingga dapat dihayati dengan sepenuhnya.


Hal ini menjadi lebih hebat lagi dengan gejala lain yang menyertai muzik dan tarian tersebut iaitu pemujaan syaitan, penolakan agama, memenuhi segala pemikiran dan fantasi dengan segala unsur negetif dan pesif, mati kubur, mayat dan sebagainya yang menjadi amalan iblis dan syaitan. Hal ini lebih berjaya mengisi kekosongan jiwa dan idealisme anak-anak muda dan memberi mereka kepuasan dan hiburan lebih daripada pengaruh nilai murni dan agama serta moral yang dalam konteks para remaja, juga golongan pelajar tidak dapat memenuhi keperluan mereka.
Boleh jadi kita bertanya dengan kehairanan, kenapa pengajaran agama dan moral sepatutnya dapat mengisi mental dan hati nurani para pelajar, juga remaja tiba-tiba mengalami kegagalan dan kelesuan. Perkara ini mestilah memerlukan perhatian serius, dimana para pengkaji dan juga para guru, ibu bapa, masyarakat dan juga semua pemimpin di semua peringkat mungkin dapat menoleh kebelakang melihat dimanakah silapnya sehingga nilai murni dan didikan Islam yang yang dibawa melalui kurikulum al-Quran tidak dapat dihayati serta dihadamkan oleh jiwa anak-anak remaja Islam yang berbangsa Melayu yang dikenali sebagai keturun Islam sejak turun-temurun. Hal mestilah setiap dari kita mesti merasa terpanggil dalam menangani gejala Black Metal yang sememangnya boleh mengancam akidah umat Islam khususnya dikalangan anak-anak muda Islam di negara kita Malaysia.
Menurut satu risalah yang disebarkan, kumpulan Black Metal ini mewajibkan setiap dari pengikutnya melupakan rukun Islam yang lima perkara, iaitu mengucap Dua Kalimah Syahadah, mengerjakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan. Sebaliknya mereka mestilah berpegang kepada lima rukun baru yang mengatakan menyembah Allah itu adalah karut marut. Empat lagi rukun kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka "We Are Satan" (Kamilah Setan) ialah jangan sembahyang, kitab al-Quran itu karut, membakar naskhah-naskhah al-Quran dan membakar atau memijak kain atau pakaian sembahyang.


Selain mengandungi lima rukun yang menghina Islam itu, risalah berkenaan turut mengandungi peraturan mengangkat sumpah untuk menganggotai kumpulan tersebut. Antara peraturan yang dinyatakan ialah sebelum menjadi pengikut, seseorang itu harus melafazkan "Kami menyeru dengan nama Iblis bahawa kami sudah pun murtad'. Mereka kemudian harus menyebut lima rukun kumpulan itu (sebagaimana di atas). Bahagian hadapan risalah itu pula memaparkan lukisan seorang lelaki berambut panjang dalam keadaan bogel dan di atasnya tertera tulisan "Black Metal". Pada muka surat kedua pula terdapat bintang berbucu lima dengan di dalamnya dilukiskan lambang salib. Di setiap bucu bintang itu terdapat tulisan dipercayai lambang tertentu dalam masyarakat Yahudi.
Pada muka surat ketiga pula terdapat lima rukun kumpulan itu manakala mukasurat keempat ayat sebelum upecara dan senarai nama ahli kumpulan itu. Pada muka surat terakhir pula terdapat tulisan dalam bentuk mengerikan tertera ' As the sky turns black' (apa bila langit berubah menjadi hitam) dengan lukisan berbucu lima.


Cabang Lain Dalam Aliran Metal.
Black Metal juga adalah cabang muzik Metal yang paling tinggi, keras dan ganas dalam muzik underground (liar). Rentak muzik keras, sebutan sukar difahami dan lirik berbagai pemujaan pelbagai nama syaitan, anti ketuhanan dan keagamaan, bunuh diri seks bebas, dianjurkan dalam lagu Black Metal yang disebarkan keseluruh dunia termasuk Malaysia. Tidak cukup dengan muzik, pemuzik dan pengikutnya dikehendaki mengisytiharkan diri murtad, melakukan ritual memuja syaitan, membakar kitab suci al-Quran dan memberontak terhadap sistem kemanusiaan dan perundangan.
Cabang lain dalam aliran Metal adalah Death Metal iaitu rentak muzik yang tidak jauh bezanya daripada Bleck Metal, tetapi memfokoskan tema kehidupan seperti kecewa, putus asa, pemberontakan, kematian dan alam kubur. Biasanya lirik Death Metal menceritakan sesuatu topik dengan penuh perasaan, dalam bentuk penceritaan yang mendalam. Doom Metal pula menampilkan lirik berbentuk melankolik untuk melafazkan kekecewaan dalam hidup seperti putus cinta dan pilih kasih. Dark Metal pula banyak mengisahkan alam ghaib (mirip Death Metal) seperti ilmu sihir, mitos, kepercayaan tertentu dan mistik.
Grindcore Metal adalah lagu metal untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan menentang sistem pentadbiran dan dasar setempat atau keadaan alam dan persekitaran. Liriknya terus terang menyuarakan tentangan terhadap penyelewengan politik, dan kerosakan alam persekitaran. Tema bagi Industrial Metal mirip kepada Grindcire Metal, tetapi menggunakan kesan bunyi khas kepada lagu seperti latar belakang bunyi kilang atau mesin tertentu.
Cabang lain dalam aliran Metal ialah Thrash, Speed dan Heavy Metal yang mengungkap pelbagai tema lebih meluas. Heavy Metal di Malaysia dikatakan bermula sejak tahun 80-an dan sudah diterima dan sudah diterima masyarakat setempat atau diistilahkan pengikut underground sebagai sudah memasuki 'main stream' (aliran utama). Manakala Thrash Speed dan Metal yang berbentuk laju dan kuat dengan penggunaan dram dan kesan bunyi gitar, masih dikelaskan sebagai muzik underground.


Perspektif Islam Berkenaan Isu Ini.


Isu Black Metal menjadi suatu perbincangan hangat masyarakat dewasa ini. Ia sebenarnya bukanlah perkara baru sekiranya kita memahami teras budaya hedonisme yang lama berkembang subur dalam masyarakat Barat. Hedonisme adalah budaya yang lahir daripada asas sekularisme yang menolak dominasi fahaman agama dalam kehidupan manusia. Hedonisme yang berasal dari istilah Greek, Hedone, bermaksud pleasure ( keseronokan / kelazatan ) atau happiness (kegembiraan ) ialah kebaikan.
Menurut Dr. Yusof al-Qardawi, walaupun golongan Hippies yang pada awalnya muncul sebagai kumpulan anti-sosial kerana bosan dengan kebuntuan peribadi, akibat gangguan pemodenan dan pembangunan, mereka telah sesat dalam gejala-gejala tidak bermoral seperti arak, seks bebas, dadah dan lain-lain sehingga ke peringkat menolak agama. Dalam mencari erti dan hakikat individu, mereka menganggap agama adalah penghalang kepada kepuasan hidup yang seharusnya berlandaskan hawa nafsu semata-mata. Kawalan norma dan undang-undang agama ditentang dengan berbagai-bagai cara oleh mereka yang menganggap hawa nafsu sebagai tuhan sembahan mereka.


Tradisi gila yang diamalkan oleh golongan ini akhirnya menemukan khayalan-khayalan yang menjurus kepada pemujaan syaitan. Inilah perkara yang cuba diulangi oleh sebahagian remaja Muslim yang sudah kehilangan arah dalam masyarakat kini.
Al-Quran secara umumnya mengaitkan hedonisme dengan kehidupan yang mementingkan keduniaan dan hawa nafsu sehingga lupa kepada perintah Allah. Merek lazimnya keras hati, sombong, melakukan maksiat, zalim dan kuat berangan-angan. Perilaku seperti ini mencapai kemuncaknya apbila mereka berdepan dengan persoalan akidah dan kepercayaan. Allah telah mengingatkan bahawa terdapat kecenderungan manusia menjadikan hawa nafsu dan keseronokan sebagai sembahan, di mana Al-Quran bertanya, yang bermaksud: "Tidakkah kamu melihat mereka yang mengambil nyawa hawa nafsu sebagai Tuhan mereka?"
Sindiran ini sekaligus memperingatkan umat manusia bahawa hawa nafsu yang diperkudakan oleh syaitan beroperasi besar dalam menggantikan peranan Tuhan dalam kehidupan mereka. Islam tidak menafikan secara mutlak kewujudan hawa nafsu sebagai sifat semulajadi manusia bahkan ia memperakui sebagai unsur kejadian manusia yang unik. Kejadian hawa nafsu yang dipertimbangkan oleh wahyu dan akal menjadikan manusia mempunyai kedudukan dan peranan yang berbeza dengan sifat syaitan dan malaikat yang hanya mempunyai dua pola yng bertentangan iaitu buruk dan baik.


Jesteru bagi menjamin kemenangan kebaikan ke atas kejahatan, Islam menganjurkan pengawalan dan alternatif terhadap aktiviti hawa nafsu. Pengawalan Islam terhadap gejala negatif ini amat dititikberatkan sehingga Nabi sejak remaja lagi telah dikawal oleh Allah daripada menghampiri pesta kaum Quraisy yang diadakan di Kota Mekah. Baginda diriwayatkan tertidur dengan nyenyak sebelum berupaya pergi ke pesta tersebut.
Islam tidak hanya mengharamkn sesuatu maksiat tertentu sahaja bahkan turut menutup arah dan punca ke arah berlakunya kemungkaran berkenaan. Sebagai contoh, Al-Quran secara jelas menegah daripada menghampiri zina kerana menyedari perkara itu pasti berlaku sekiranya ruang-ruang ke arahnya dibuka dengan luas.
Sesuai dengan Islam yang bersifat meraikan fitrah manusia, agama ini memberikan kelonggaran ke atas beberapa hiburan yang dapat memberikan manfaaat kepada manusia dalam menjalankan kehidupannya dengan sempurna. Sebagai contoh, lagu-lagu memuja Ilahi, keindahan alam dan meniupkan semangat untuk maju dan berjaya dalam kehidupan dan perjuangan amat digalakkan. Promosi terhadap unsur-unsur hiburan yang murni inilah yang seharusnya menjadi arus perdana dalam masyarakat; bukannya hiburan yang mewenangkan pemujaan hawa nafsu dan keuntungan material semata-mata.
Persoalannya, memadaikah pengawalan daripada satu pihak sahaja sedangkan pihak-pihak lain mnyepikan diri malah ada yang menyokong ruang-ruang ke arah kepesatan budaya hedonisme ini?
Hanya peribadi besar dan dokongan secara kolektif sahaja yang mampu menunjukkan keunggulan pendakwah dalam melaksanakan tugas amal makruf dan nahi mungkar yang menjadi prasyarat kepada kejayaan sebuah umat yang terbaik. Masyarakat amat berharap supaya sesuatu dapat dilakukan dalam membenteras fahaman hedonisme yang kini kembali semula ke puncaknya.


Rumusan, walau apa pun keadaan gejala yang dihadapi oleh ummat Islam ini, maka mereka semua mestilah merasa terpanggil dalam memberi sumbangan untuk mengembalikan semula golongan individu yang terlibat, terjerumus ke lembah yang membawa kepada tekeluar dari akidah Islam ini khususnya dari kalangan golongan remaja Islam yang berbangsa Melayu, kerana persoalan ini adalah persoalan agama Islam dan bangsa Melayu.


Di antara langkah-langkah yang perlu diambil dalam membendung gejala ini ialah:


1. Para ibu bapa mestilah mengambil berat tentang aktiviti harian juga pergaulan anak-anak mereka.


2. Para ibu bapa juga mestilah menunjukkan suri tauladan yang terbaik untuk anak-anak mereka dengan mempamerkan iltizam yang tinggi terhadap nilai hidup Islam.

seperti melakukan ibadah, juga amal soleh seperti istiqamah dalam melaksanakan solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan serta melakukan amalan-amalan murni lain. Perkara ini penting kerana ibu bapa merupakan pendidik pertama kepada anak-anak. Firman Allah s. w. t. di dalam al-Quran


مَا مِنْ مَوْلُوْدٍ اِﻻَّ يُوْ لَدُ عَليٰ الْفِطْرَةِ فَاَبَوَا هُ يُهَوِّدَانِهِ اَوْ يُنَصِّرَانِهِ اَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Ertinya:

"Tidak dilahirkan seseorang anak itu kecuali dalam keadaan putih bersih ( tidak berdosa). Maka kedua ibu bapanyalah yang akan mencorak anak itu sama ada dengan agama Yahudi, Nasara (Kristian) atau Majusi".


Bagi setiap individu pula, mereka mestilah amanah terhadap diri sendiri, iaitu dengan menunaikan segala amanah dan tanggungjawab terhadap diri seperti melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang berbentuk keduniaan dan juga ilmu-ilmu keagamaan yang dapat menjadi benteng dari terjerumus kelembah yang tidak sihat yang dibenci Allah Ta'ala. Amanah terhadap diri sendiri juga termasuklah memilih kawan-kawan yang baik yang boleh membantu seseorang itu mencapai kebaikan dan kejayaan. Kerana kawan merupakan orang yang akan mempengaruhi temannya sama ada ke arah perkara baik atau tidak baik.


3. Seterusnya semua lapisan masyarakat Islam juga mestilah memainkan peranan masing-masing dalam menangani gejala yang boleh mengancam akidah umat Islam.

Bermula dari keluarga, masyarakat kempung penguasa daerah dan negeri, lebih-lebih lagi penguasa agama juga kerajaan mestilah menangani masalah ini dengan serius termasuklah dengan menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang telah sedia ada atau menggubal undang-undang baru demi menjamin anak-anak muda dan remaja Islam di negara ini dari terus hanyut dengan dakyah-dakyah Yahudi dan Kristian yang membawa kepada terkeluarnya dari agama Islam ( murtad).


Mudah-mudahan di antara kita umat Islam ini salang memperingati antara satu sama lain, Insya Allah syiar Islam terus maju berkembang di muka bumi Allah ini, juga akidah Islam pula sentiasa bertapak kukuh dihati setiap penganutnya.

.وَالْعَصْرِ اِنَّ اْلاِِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍ. اِلا َّالَّذِيْنَ اۤمَنُوْا وَعَمِلوالصَّالِحَاتِ .وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya:
" Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam keadaan kerugian, kecuali hanya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan orang-orang yang sentiasa berpesan-pesan dengan perkara kebenaran dan kesabaran".

ISU EKONOMI ISLAM: APABILA BEREKONOMI TIDAK MENGIKUT KEHENDAK TUHAN



Berita yang menarik perhatian dunia hari ini adalah kejatuhan ekonomi Amerika yang sebelum ini merupakan satu kuasa ekonomi yang paling gah di seantero dunia. Tidak pernah agaknya kita terfikir bahawa Amerika yang menguasai ekonomi dunia boleh mengalami kemerosotan yang sedemikian teruk sekali sedangkan negara-negara yang sedang membangun yang lain tidak pula mengalami nasib yang sama sepertinya.Bukankah ini menjadi satu perkara pelik yang berlaku dan menimbulkan persoalan kepada kita,Apa sebenarnya yang sudah berlaku?


Amerika kini mengalami kemerosotan ekonomi disebabkan menanggung sebahagian akibat daripada krisis kredit yang bermula tahun lepas dengan gadai janji subprima di Amerika Syarikat (AS) dan sejak itu krisis ini melanda pasaran perbankan Amerika di seluruh dunia.Yang terkini, Bank pelaburan gergasi, Lehman Brothers diisytiharkan muflis bulan lepas. Pasaran saham di Amerika juga mengalami kejatuhannya dan Wall Street menjadi saksi detik-detik kejatuhan saham dagangan itu di waktu ini dan krisis buruk pasaran saham ini turut melanda secara global. ini membuat orang ramai mula hilang keyakinan terhadap keupayaan saham untuk menjana keuntungan dan sebagai pelaburan yang memberi pulangan lumayan.Pelbagai usaha dilakukan oleh pakar-pakar ekonomi mereka untuk memulihkan krisis kewangan tersebut, di antaranya dengan menaikkan harga minyak sedunia, mewar-warkan mengenai kekurangan makanan, bail out syarikat-syarikat perbankan mereka seperti AIG dan pelbagai usaha lain lagi tetapi kelihatannya semua menuju ke arah jalan buntu.Kuasa apakah ini yang sedang mencatur ekonomi dunia dan mengambilalih peranannya dari Amerika yang sebelum ini terkenal dengan gelaran PENCATUR sistem ekonomi dunia?


Nyata bahawa ekonomi adalah satu keperluan hidup bagi manusia. Justeru itu, ia mesti dikendalikan dengan cara yang patut, adil, saksama, penuh belas ikhsan dan kasih sayang. Sepertimana juga dalam keperluan-keperluan hidup manusia yang lain, Tuhan tidak boleh diketepikan dalam kita berekonomi. Kalau ini berlaku, maka natijah dan hasil dari ekonomi tersebut akan memakan diri manusia itu sendiri. Ia akan rosak dan merosakkan.Di zaman ini, kegiatan dan interaksi melalui ekonomi telah diselewengkan dan dirosakkan oleh fahaman-fahaman ciptaan akal manusia terutama oleh fahaman komunis dan kapitalis. Ia telah dirosakkan oleh riba, monopoli, oligopoli, kartel, mencari untung yang berlebihan dan menjadikan untung itu matlamat dalam berekonomi. Justeru itu timbul penekanan, penindasan dan ketidakadilan. Lahirlah krisis, perbalahan, kesusahan, kerosakan dan perpecahan.Dalam Islam, berekonomi dan berniaga bukan semata-mata untuk mencari duit dan untung. Kalau duit dan untunglah matlamatnya pasti akan ada rebutan. Krisis dan pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Ekonomi dan perniagaan Islam adalah berteraskan kasih sayang.Seperti juga ibadah-ibadah yang lain, matlamat berekonomi adalah untuk mendapatkan Tuhan dan untuk mendapatkan keredhaan Tuhan , bukan untuk mendapatkan duit dan keuntungan material. Kalau duit dan keuntungan materiallah yang menjadi matlamat dalam berekonomi, maka ia tidak boleh dan tidak layak dikatakan sebagai ibadah. Ia terkeluar dari syarat-syarat dan konsep ibadah. Ia tidak akan sampai kepada Tuhan. Tuhan juga tidak akan menerima usaha ekonomi atau perniagaan kita itu sebagai satu ibadah atau pengabdian diri kepada-Nya. Kerana ibadah itu adalah apa-apa kebaikan yang kita buat dengan diniatkan kerana Allah. Allah adalah matlamat ibadah.Kalau kita berekonomi dan berniaga kerana hendakkan duit dan untung sahaja, maka Tuhan akan berlepas diri daripada usaha kita itu kerana kita berbuat bukan kerana Dia. Apabila Tuhan berlepas diri maka akan timbullah bermacam-macam kerosakan dan kesan sampingan yang buruk dan negatif. Tidak akan wujud kasih sayang. Kalau perniagaan kita untung dan maju, orang akan dengki dan iri hati pada kita. Atau kita akan berebut-rebut keuntungan. Atau kita akan rasa bongkak dan sombong. Kalau kita rugi pula, kita akan bergaduh dan bersenget- senget hati sesama sendiri. Ataupun kita akan kecewa dan berputus asa. Usaha kita itu pula tidak ada apa-apa nilai di Akhirat.


Di samping itu akan timbul tekan-menekan, tindas-menindas, ketidakadilan, monopoli, penipuan, inflasi, menyorok barangan dan sebagainya kerana manusia mahu cepat untung dan cepat kaya. Hidup manusia jadi susah dan terhimpit. Inilah akibat berekonomi dan berniaga yang dibuat tidak kerana Tuhan.Sebenarnya, kalau kita berekonomi dan berniaga kerana hendak mendapatkan Tuhan, lagi banyak kita berniaga, maka akan bertambah lagilah iman dan taqwa kita. Seterusnya lagi bertambahlah ukhwah dan kasih sayang antara kita dan kita akan lebih hampir kepada Tuhan. Kehidupan jadi mudah, indah, aman dan makmur.


Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama berdoa agar masanya akan tiba dengan segera, kekuatan teknologi roh atau kerohanian ini mengalahkan sepenuhnya kekuatan teknologi maddi yang bertunjangkan sistem yang kufur. Justeru, jelaslah Islam menganjurkan perniagaan dan ekonomi bukan untuk mendapat duit atau untung tetapi untuk mendapat taqwa. Untung itu perkara mendatang. Dalam Islam, rugi dalam perniagaan pun tidak apa asalkan dapat taqwa.

ISU NEGARA ISLAM: SATU ANALISIS AWAL


PENGENALAN

Isu “Negara Islam” di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad saw dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.
Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam seperti beberapa orang pimpinan parti DAP, MIC, dan MCA yang sudah pasti tidak memahami tasawwur “negara Islam” sebenar. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna menjadi umat Islam harus menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu “negara Islam” sering disalahtafsirkan. “Negara Islam” tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.
Seseorang yang bukan Islam, misalnya Ah Chong atau Ramasamy atau Putong A/L Ambok yang sembahyang lima waktu dan puasa dalam bulan Ramadan tidak menjadikan beliau seorang Muslim kerana beliau tidak mengucap dua kalimah syahadah yang bertunjangkan kepada kesedaran tauhid. Begitu jugalah jika sesebuah negara yang membina bank Islam atau sekolah Islam atau masjid untuk orang Islam masih belum boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam jika negara tersebut tidak “mengucap dua kalimah syahadah” iaitu meletakkan dasar bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Ringkasnya maksud kalimah syahadah ini menafikan adanya Tuhan, peraturan, kuasa, manusia, kebendaan atau perasaan serta nafsu yang lebih besar atau lebih mulia dari Allah SWT dan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Qur’an dan apa jua yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Bagi mengelakkan salah-salah terhadap isu negara Islam ini, ada baiknya kita merujuk kembali sejarah ringkas kedatangan Islam di Malaysia.
SOROTAN SEJARAH ISLAM dan “NEGARA ISLAM” DI MALAYSIA
Sebelum Islam sampai ke Tanah Melayu, Melaka berada di bawah pengaruh Sriwijaya dan kemudian Majapahit. Menurut para ahli sejarah Malaysia, Islam sampai ke semenanjung ini sebelum abad ke-12. Ini berbeza dengan pendapat para penulis Barat yang menyatakan bahawa Islam bersinar di semenanjung sekitar abad ke-13 atau 14. Penelitian dibuat berdasarkan pada mata wang dinar emas yang ditemui di Kelantan tahun 1914 yang bertulis "Al-Julus Kelantan" dan angka Arab 577 H yang bersamaan dengan tahun 1181 M pada satu bahagian; dan pada bahagian sebelahnya bertulis "Al-Mutawakkil", iaitulah gelaran pemerintahan Kelantan pada masa itu. Malahan batu nisan tua bertulis Arab ditemukan di Kedah tahun 1963 pada makam Syeikh Abdul Kadir bin Syeikh Husin Shah Alam (w. 291 H). Kesemua ini menunjukkan bahawa abad ke 9 merupakan awal perkembangan Islam di kawasan Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang menghadap ke Laut Cina Selatan, sebagaimana diakui Dinasti Sung (960-1279), bahawa masyarakat Islam telah tumbuh di sepanjang pantai Laut Cina Selatan.
Perkembangan Islam dan proses Islamisasi berlangsung melalui jalur perdagangan atas peranan para pedagang muslim dan mubaligh dari Arab dan Gujarat, para da’i setempat dan penguasa Islam. Sejak awal abad ke-7 Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara merupakan jalur perdagangan utama antara Asia Barat dan Timur Jauh serta kepulauan rempah-rempah Maluku. Semenanjung Tanah Melayu tidak dapat dipisahkan dari gugusan pulau-pulau Nusantara. Bila saudagar-saudagar Arab dan lainnya singgah di pelabuhan-pelabuhan Nusantara, mereka juga singgah di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung.
Proses perkembangan Islam terus berjalan baik dan kemudiannya membentuk komuniti-komuniti Islam serta melahirkan pusat-pusat pemerintahan Islam. Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12).
Ini dapat dilihat pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang (Terengganu) yang bertarikh 702 Hijrah, di mana tulisan bahasa Melayu huruf Arab tentang hukum syara' yang wajib dipatuhi oleh rakyat di Kerajaan Islam Terengganu pada abad ke-8 H. (abad ke-14 M), antara lain menyatakan: “Wajib di atas Muslimin patuh kepada undang-undang Tuhan karena ia adalah perintah-perintah Allah yang berkuasa lagi mulia dan mengeluarkan hukum-hukum seperti ini wajib di atas sekalian raja-raja Muslimin untuk kebaikan negeri-negeri mereka. “ Negeri Kelantan di kenali sebagai “Serambi Mekah.” Manakala Terengganu pada abad ke-14 menjadi pusat penyebaran Islam di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan sampai sekarang disebut "Darul Iman" (Negeri Iman).
Kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15. Menurut Sejarah Melayu, rajanya yang pertama iaitu Parameswara Iskandar Syah, yang memeluk Islam tahun 1414 dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan ini dan iparnya Pangeran Abdul Malik Syah bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam. Penguasa pertama Pahang adalah putera sultan Melaka. Melakalah yang mengislamkan Kedah, Patani (kini menjadi wilayah di Thailand) dan Kelantan. Demikian juga Rokan, Kampar, Siak dan Inderagiri di Sumatera, semuanya menerima Islam dalam kedudukannya sebagai wilayah kekuasaan Melaka pada abad ke-15.
Hal ini menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan dan kubu keimanan Islam. Kerajaan ini juga dicatat sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang memiliki undang-undang tertulis yang disebut Undang-Undang Melaka. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim (guru besar hukum di Universiti Islam Internasional Malaysia, Kuala Lumpur), "Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam bersama adat Melayu." Melaka, ibu kota Kerajaan Melaka, dikuasai Portugis (1511-1641), kemudian Belanda (1641- 1795) dan sejak 1795 diperintah oleh British. Menjelang akhir abad ke-19, British juga menduduki wilayah-wilayah lain di Semenanjung.. Meskipun demikian, Islam tetap berkembang. Sepanjang penjajahan British, wujud institusi pendidikan, samada yang tradisional yang dikenali sebagai "pondok" atau pun yang moden, seperti Ma'had Mahmud (Kedah), al-Ma'had al-Muhammadi (Kelantan), Madrasah al-Sultan Zainal Abidin (Terengganu), Ma'had Johor (Johor), Kulliah al-Lugah wa ad-Din (Pahang) dan Kolej Islam (Selangor).
Setelah pendudukan Jepun (1941-1942), pihak British membentuk Malayan Union (1 April 1946) yang kemudiannya bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Seterusnya pada 31 Ogos 1957 Malaya memperoleh kemerdekaan dari British dan Islam ditetapkan sebagai agama rasmi. Pada16 September 1963 lahirlah pula Persekutuan Malaysia. Singapura menjadi anggota Persekutuan, tetapi memisahkan diri dan menjadi negara berdaulat penuh pada tahun 1965.
Di awal tahun 1980-an, Islam di Malaysia mengalami satu proses kebangkitan yang dapat dilihat dengan bersemaraknya kegiatan dakwah di semua peringkat, samada di pejabat, di padang bola, kilang, surau atau masjid. Oleh kerana kadar literasi sudah mulai meningkat, didapati semakin ramai orang Islam yang sudah boleh membaca dan memahami kandungan al-Qur’an yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu pada pertengahan 1970an. Malah terjemahan buku-buku mengenai Islam, gerakan Islam, dan kisah-kisah suka duka umat Islam di negara umat Islam oleh golongan intelek yang kembali dari timur tengah telah berjaya memperkayakan maklumat umat Islam untuk mendorong mereka mencetuskan satu proses tajdid yang panjang di Malaysia.
Berdasarkan kepada soroton sejarah secara ringkas ini, jelas menunjukkan bahawa “negara Islam” pernah wujud di Malaysia. Negara Islam yang dimaksudkan bukan sahaja pelaksanaan hukum hudud, tetapi merangkumi penghayatan Islam dalam urusan harian. Jika kita meneliti sorotan sejarah Islam di Malaysia, kita akan dapati bahawa perkataan “negara Islam” tidaklah menjadi sebutan yang popular pada masa lalu. Perkataan”negara Islam” dipopularkan kemudian oleh para alim ulama dan pimpinan gerakan Islam. Tetapi apa yang jelas ialah tercatat dalam sejarah di mana ada masyarakat, wilayah, negeri, dan negara yang melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran cara Islam. Ini sudah cukup untuk melabelkan masyarakat, wilayah, negeri, dan negara berkenaan sebagai “negara Islam.”

KESAN PENJAJAHAN

Akibat penjajahan barat (Portugis, Belanda, British) ke atas Tanah Melayu yang pernah diperintah cara Islam, kita dapati bahawa sedikit demi sedikit penjajah memperkenalkan undang-undang barat yang berasaskan fahaman sekular. Apatah lagi dengan kemasukan pekerja-pekerja asing dari Cina dan India yang sengaja dibawa oleh penjajah, maka penjajah memberikan alasan bahawa udang-undang Islam tidak sesuai lagi dalam sesebuah masyarakat majmuk. Justeru penjajah memaksa rakyat di Tanah Melayu untuk menerima undang-undang barat. Bagaimanapun, rancangan penjajah ini telah mendapat tentangan yang hebat dari para alim ‘ulama Islam di Tanah Melayu.
Penentangan di Naning (1831-1832) yang dipimpin oleh Dol Said (Datuk Penghulu Abdul Said) bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Penentangan di Perak berlaku apabila Undang-Undang 99 yang berteraskan Islam diketepikan oleh penjajah. Di Pahang pula, Dato’ Bahaman (orang Kaya Semantan), To’ Gajah (Imam Perang Rasul) Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain lagi telah bangkit meniup semangat jihad menentang British apabila British memaksa rakyat untuk menerima undang-undang British dan mengenepikan undang-undang Islam.
Manakala di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang bersabit dengan cukai hasil. Gerakan penentangan ini dipimpin oleh Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram (Tun Ahmad) serta dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam, da Ishak Mebau di Pasir Puteh. Di Terengganu, gerakan penentangan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot, Tok Janggut (Lebai Deraman) dan lain-lain apabila British mengenepikan undang-undang Islam.
Gerakan Islah pula merupakan revolusi mental dan kesedaran Islam di kalangan masyarakat Islam yang dipelopori oleh golongan ulama’ seperti Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Syeikh abu Bakar al-Ashaari, dan Haji Muhammad Ibrahim. Dan penentangan demi penentangan terus berjalan sehingga mengorbankan ramai syuhada dalam mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan peraturan dan hukum Islam
Bagaimanapun setelah penjajah berjaya menguasai politik tanah air sepenuhnya, penjajah telah mendidik rakyat (melalui program serangan pemikiran atau al-ghazwah fikr) dengan kefahaman sekular melalui sistem pendidikan, sistem kemasyarakatan, sistem ekonomi dan sistem pentadbiran. Akhirnya umat Islam sendiri salah faham terhadap Islam dan seterusnya tidak yakin dengan kebaikan dan keadilan Islam itu sendiri. Dan menjadi kelaziman bagi negara yang pernah dijajah di mana rakyat negara yang dijajah akan merasa hina dan rendah diri terhadap diri sendiri dan kepercayaannya (inferiority complex) dan memandang tinggi terhadap penjajah dan cara hidup serta sistem yang diamalkan oleh penjajah. Rakyat dididik supaya berkiblatkan barat atau timur dalam mengurus negara atau menyelesaikan sesuatu permasalahan tanpa mahu merujuk kepada Islam sebagai alternatif.
Pemikiran beracun yang dipupuk oleh kefahaman sekular peninggalan penjajah ke atas umat Islam dan rakyat di Malaysia telah menyulitkan usaha-usaha dakwah di negara ini khususnya apabila terdapat orang Islam sendiri yang menolak pembentukan “negara Islam.” Ini memberi peluang kepada orang bukan Islam yang tidak suka kepada Islam samada secara khusus atau tidak khusus, untuk turut sama menolak “negara Islam.” Ini bermakna golongan da’i menghadapi dua kumpulan sasaran yang memerlukan penjelasan mengenai “negara Islam.”

KESIMPULAN

Isu “negara Islam” bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan “negara Islam” tidak popular di zaman Nabi Muhammad saw mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung sebelum berlaku penjajahan barat, kewujudan masyarakat, wilayah, negeri atau negara yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air. “Negara Islam” pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi, “tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri” dan ikuti dengan menegakkan “negara Islam” dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Muslim supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang tasawwur negara Islam yang dimaksudkan, mampu berbicara dan berhujah mengenainya, mampu mempertahankannya, serta memperjuangkan. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa “Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172)

ISU PEMBINAAN KELUARGA ISLAM- BUKAN SEMUDAH ITU..


Setiap insan tentunya mengimpikan untuk mempunyai sebuah Usrah yang Saadah dan rumah tangga yang dilimpahi Rahmat dan Mawaddah Ilahi. Namun itu semua amat sukar untuk dicapai. Proses pembentukkan dan pembinaan rumah tangga yang diRedhoi Allah ini perlu bermula dari langkah pertama, iaitu tatkala ketika si jejaka mahu melamar si anak dara.

Melihat gaya kehidupan hari ini. Amat sukar untuk mencari cinta suci yang tidak terpalit oleh sebarang maksiat. Ditambah lagi dengan teknologi modern yang memudahkan untuk setiap pasangan saling berhubungan walaupun baru bertunang atau masih belum sah sebagai suami isteri. Menyelusuri saat-saat dan tempoh ini umpama berjalan di dalam sawah yang berlumpur, jika tidak bijak mengatur iman dan akal akan terleka di dalam maksiat umpama terbenam di dalam lumpur hingga sukar untuk kita menarik kaki yang terbenam.Membaca cerita kisah Ustaz Hasrizal dan isteri ketika mahu mangambil keputusan untuk berkahwin, Subhanallah mudah sekali, tanpa terlalu berkira soal paras rupa, Alhamdulillah keyakinan dan tawakal kepada Allah menyatukan mereka dengan niat suci cinta kerana Allah. Namun tak semua orang mememukan jodoh mereka dengan cara yang mudah seperti itu. Ada orang yang bertahun-tahun berdoa barulah Allah menyempurnakan hajatnya. Allah memberikan 3 jawapan atas permintaan yang kita mohon padanya:

1-Directly Allah perkenankan.
2-Akan diperkenankan apabila tiba waktunya yang tepat.
3-Allah membalas dengan mengampunkan dosa-dosa kita.

Terlalai dan leka dalam bercinta tidak mengira kepada siapa, bahkan sering juga terjadi kepada mereka yang melibatkan diri dalam jemaah dan gerakan Islam. Kerana itu kita harus waspada dimanakah kita letakkan cinta. Pada hati atau pada Iman. Buat sahabat2 muslimat yang masih single janganlah terburu-buru mencari cinta yang tak pasti penghujungnya. Janganlah berputus asa, mohonlah setiasa agar ditemukan dengan suami yang benar-benar membawa kita ke jalan yang Diredhoi ALLAH. Insyaallah doa kita pasti diperkenankan Ilahi. Jangan sampai merendahkan harga diri, seperti kisah buah epal. Berusahalah dengan cara yang betul, dan niat yang ikhlas kerana ALLAH. Malah kita ada contoh yang terbaik seperti mana Kisah Khadijah dan Rasulallah…..
Allahumma hablana min azwajina wa zurriyatina Qurrati a'ayun, faj'alna muttaqina imama.
Wallahu a'alam.

ISU ILMU-ILMU ISLAM-TUGAS DAN AKHLAK PENUNTUT ILMU


Rasanya agak janggal jika kita sebagai seorang mahasiswa membincangkan masalah ilmu tanpa di ketengahkan apakah tugas yang perlu kita tunaikan di dalam misi menuntut ilmu, dan apakah akhlak yang perlu ada dan tanggungjawab yang perlu kita pikul terhadap ilmu yang kita pelajari.

Tugas Penuntut Ilmu

Secara Umum, dapat digariskan empat tugas seorang penuntut ilmu:

1) Memperbetulkan niat
Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntut ilmu, ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelarkan sebagai orang alim, atau tujuan mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya.

Sabda Rasulullah SAW
“Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak.”

Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanafaatkannya.


2)Berterusan dalam menuntut ilmu
Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak didalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu.

Firman Allah SWT.

Maka Maha Tinggi Allah raja yang sebenar-benarnya, dan janganlah kamu tergesa-gesa membaca Al qur'an sebelum disempurnakan mewahyukannya kepadamu[946], dan Katakanlah: "Ya Tuhanku, tambahkanlah kepadaku ilmu pengetahuan."


[946] Maksudnya: nabi Muhammad s.a.w. dilarang oleh Allah menirukan bacaan Jibril a.s. kalimat demi kalimat, sebelum Jibril a.s. selesai membacakannya, agar dapat nabi Muhammad s.a.w. menghafal dan memahami betul-betul ayat yang diturunkan itu. (surah Toha: ayat 114)

3) Sabar
Penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersifat fizikal mahupun spritual.
Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

4) Memuliakan Guru
Sabda Rasulullah SAW
“Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim”.
-Riwayat Abu Daud

Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru yang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masa kita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut mendapat keredhaan Allah SWT .


Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan Tanggungjawab ilmu


Diriwayatkan Daripada Muaz bin Jabal die berkata Rasulullah SAW bersabda.
"Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah perbuat dengannya." -Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sohih


2) Menjaga amanah ilmiah

Sabda Rasulullah SAW :
“Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat.”
- Riwayat Attabarani-

Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut.
- Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya.
- Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.



3)Tawadduk

Para Ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk.

Firman Allah SWT: "Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja".
(Surah al-Isra'.)


4)Mulia diri (Al-Izzah)

Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya,

Firman Allah SWT: "kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui".
(surah al-Munafikun ayat 8 )

"Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allahlah kemuliaan itu semuanya"
(surah Fathiir: ayat 10 )


5) Beramal dengan apa yang dipelajari


Firman Allah taala ;
"Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajipan)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?"
(surah al-Baqarah ayat 44 )



6) Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu

Firman Allah taala:
"Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu )ken belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit, Amatlah buruk tukaran mereka terima" ( surah Ali Imran ayat 187)