Saturday, October 18, 2008

ISU EKONOMI ISLAM: APABILA BEREKONOMI TIDAK MENGIKUT KEHENDAK TUHAN



Berita yang menarik perhatian dunia hari ini adalah kejatuhan ekonomi Amerika yang sebelum ini merupakan satu kuasa ekonomi yang paling gah di seantero dunia. Tidak pernah agaknya kita terfikir bahawa Amerika yang menguasai ekonomi dunia boleh mengalami kemerosotan yang sedemikian teruk sekali sedangkan negara-negara yang sedang membangun yang lain tidak pula mengalami nasib yang sama sepertinya.Bukankah ini menjadi satu perkara pelik yang berlaku dan menimbulkan persoalan kepada kita,Apa sebenarnya yang sudah berlaku?


Amerika kini mengalami kemerosotan ekonomi disebabkan menanggung sebahagian akibat daripada krisis kredit yang bermula tahun lepas dengan gadai janji subprima di Amerika Syarikat (AS) dan sejak itu krisis ini melanda pasaran perbankan Amerika di seluruh dunia.Yang terkini, Bank pelaburan gergasi, Lehman Brothers diisytiharkan muflis bulan lepas. Pasaran saham di Amerika juga mengalami kejatuhannya dan Wall Street menjadi saksi detik-detik kejatuhan saham dagangan itu di waktu ini dan krisis buruk pasaran saham ini turut melanda secara global. ini membuat orang ramai mula hilang keyakinan terhadap keupayaan saham untuk menjana keuntungan dan sebagai pelaburan yang memberi pulangan lumayan.Pelbagai usaha dilakukan oleh pakar-pakar ekonomi mereka untuk memulihkan krisis kewangan tersebut, di antaranya dengan menaikkan harga minyak sedunia, mewar-warkan mengenai kekurangan makanan, bail out syarikat-syarikat perbankan mereka seperti AIG dan pelbagai usaha lain lagi tetapi kelihatannya semua menuju ke arah jalan buntu.Kuasa apakah ini yang sedang mencatur ekonomi dunia dan mengambilalih peranannya dari Amerika yang sebelum ini terkenal dengan gelaran PENCATUR sistem ekonomi dunia?


Nyata bahawa ekonomi adalah satu keperluan hidup bagi manusia. Justeru itu, ia mesti dikendalikan dengan cara yang patut, adil, saksama, penuh belas ikhsan dan kasih sayang. Sepertimana juga dalam keperluan-keperluan hidup manusia yang lain, Tuhan tidak boleh diketepikan dalam kita berekonomi. Kalau ini berlaku, maka natijah dan hasil dari ekonomi tersebut akan memakan diri manusia itu sendiri. Ia akan rosak dan merosakkan.Di zaman ini, kegiatan dan interaksi melalui ekonomi telah diselewengkan dan dirosakkan oleh fahaman-fahaman ciptaan akal manusia terutama oleh fahaman komunis dan kapitalis. Ia telah dirosakkan oleh riba, monopoli, oligopoli, kartel, mencari untung yang berlebihan dan menjadikan untung itu matlamat dalam berekonomi. Justeru itu timbul penekanan, penindasan dan ketidakadilan. Lahirlah krisis, perbalahan, kesusahan, kerosakan dan perpecahan.Dalam Islam, berekonomi dan berniaga bukan semata-mata untuk mencari duit dan untung. Kalau duit dan untunglah matlamatnya pasti akan ada rebutan. Krisis dan pergaduhan pasti tidak dapat dielakkan. Ekonomi dan perniagaan Islam adalah berteraskan kasih sayang.Seperti juga ibadah-ibadah yang lain, matlamat berekonomi adalah untuk mendapatkan Tuhan dan untuk mendapatkan keredhaan Tuhan , bukan untuk mendapatkan duit dan keuntungan material. Kalau duit dan keuntungan materiallah yang menjadi matlamat dalam berekonomi, maka ia tidak boleh dan tidak layak dikatakan sebagai ibadah. Ia terkeluar dari syarat-syarat dan konsep ibadah. Ia tidak akan sampai kepada Tuhan. Tuhan juga tidak akan menerima usaha ekonomi atau perniagaan kita itu sebagai satu ibadah atau pengabdian diri kepada-Nya. Kerana ibadah itu adalah apa-apa kebaikan yang kita buat dengan diniatkan kerana Allah. Allah adalah matlamat ibadah.Kalau kita berekonomi dan berniaga kerana hendakkan duit dan untung sahaja, maka Tuhan akan berlepas diri daripada usaha kita itu kerana kita berbuat bukan kerana Dia. Apabila Tuhan berlepas diri maka akan timbullah bermacam-macam kerosakan dan kesan sampingan yang buruk dan negatif. Tidak akan wujud kasih sayang. Kalau perniagaan kita untung dan maju, orang akan dengki dan iri hati pada kita. Atau kita akan berebut-rebut keuntungan. Atau kita akan rasa bongkak dan sombong. Kalau kita rugi pula, kita akan bergaduh dan bersenget- senget hati sesama sendiri. Ataupun kita akan kecewa dan berputus asa. Usaha kita itu pula tidak ada apa-apa nilai di Akhirat.


Di samping itu akan timbul tekan-menekan, tindas-menindas, ketidakadilan, monopoli, penipuan, inflasi, menyorok barangan dan sebagainya kerana manusia mahu cepat untung dan cepat kaya. Hidup manusia jadi susah dan terhimpit. Inilah akibat berekonomi dan berniaga yang dibuat tidak kerana Tuhan.Sebenarnya, kalau kita berekonomi dan berniaga kerana hendak mendapatkan Tuhan, lagi banyak kita berniaga, maka akan bertambah lagilah iman dan taqwa kita. Seterusnya lagi bertambahlah ukhwah dan kasih sayang antara kita dan kita akan lebih hampir kepada Tuhan. Kehidupan jadi mudah, indah, aman dan makmur.


Maka dengan itu, marilah kita bersama-sama berdoa agar masanya akan tiba dengan segera, kekuatan teknologi roh atau kerohanian ini mengalahkan sepenuhnya kekuatan teknologi maddi yang bertunjangkan sistem yang kufur. Justeru, jelaslah Islam menganjurkan perniagaan dan ekonomi bukan untuk mendapat duit atau untung tetapi untuk mendapat taqwa. Untung itu perkara mendatang. Dalam Islam, rugi dalam perniagaan pun tidak apa asalkan dapat taqwa.

No comments: