PENGENALAN
Isu “Negara Islam” di Malaysia menimbulkan kontroversi bukan sahaja di kalangan Muslim tetapi juga bukan Muslim. Bagi seorang muslim yang memahami serta mendapat gambaran sebenar tasawwur “negara Islam” di zaman Nabi Muhammad saw dan zaman-zaman khalifah selepas baginda, ianya tidak menimbulkan sebarang keraguan. Malah, “negara Islam” yang dimaksudkan itu sentiasa menjadi impian bagi seseorang Muslim yang mempunyai persepsi yang jelas mengenai rupa bentuk negara Islam. Manakala bagi orang yang tidak mendapat gambaran yang jelas dan tidak memahami konsep serta tasawwur “negara Islam” yang dimaksudkan, samada mereka itu orang Islam atau bukan Islam, maka sudah pasti mereka akan ragu-ragu dan menolaknya. Apatah lagi apabila ada pihak yang tidak suka kepada Islam atau “negara Islam” itu menjalankan propaganda negatif dan memberikan gambaran yang salah kepada orang ramai khususnya kepada orang bukan Islam.
Justeru tidak hairanlah jika ada orang yang menolak cadangan “negara Islam” yang ingin diketengahkan oleh beberapa golongan samada badan bukan kerajaan atau parti politik atau individu. Apabila ini berlaku, maka sukar bagi umat Islam untuk menyalahkan orang bukan Islam yang menolak “negara Islam” kerana di dalam pemikiran orang bukan Islam seperti beberapa orang pimpinan parti DAP, MIC, dan MCA yang sudah pasti tidak memahami tasawwur “negara Islam” sebenar. Apabila seseorang itu tidak mempunyai maklumat yang betul atau benar, sudah tentu ia akan ragu-ragu dan kadangkala akan memusuhi pihak yang satu lagi. Ini bermakna menjadi umat Islam harus menyahut cabaran bagi memberikan penjelasan demi penjelasan mengenai apa yang dimaksudkan dengan “negara Islam.” Ringkasnya usaha dakwah dalam menyampaikan maksud sebenar konsep dan tasawwur negara Islam serta kebaikan dan keadilan dalam pemerintahan Islam.
Perlu ditekankan di sini bahawa isu “negara Islam” sering disalahtafsirkan. “Negara Islam” tidak boleh diukur dengan majoriti atau minoriti umat Islam di sesebuah negara. Catatan sejarah dengan jelas menunjukkan bahawa orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara pernah menerima Islam sebagai sistem pemerintahan walaupun orang bukan Islam merupakan majoriti di negara berkenaan. Bermula daripada Kerajaan Islam Rasulullah SAW di Madinah yang didiami oleh masyarakat majmuk, kemudian Kerajaan Islam minoriti yang diketuai oleh Abu Musa Al-Asya’ari di Yaman, Kerajaan Islam minoriti Umaiyyah di Andalus dan Kerajaan Islam minoriti Mataram di Jawa, telah membuktikan bahawa “negara Islam” pernah wujud dalam negara di mana majoriti rakyatnya ialah bukan Islam dan yang memerintah negara berkenaan ialah orang Islam.
Seseorang yang bukan Islam, misalnya Ah Chong atau Ramasamy atau Putong A/L Ambok yang sembahyang lima waktu dan puasa dalam bulan Ramadan tidak menjadikan beliau seorang Muslim kerana beliau tidak mengucap dua kalimah syahadah yang bertunjangkan kepada kesedaran tauhid. Begitu jugalah jika sesebuah negara yang membina bank Islam atau sekolah Islam atau masjid untuk orang Islam masih belum boleh dianggap sebagai sebuah negara Islam jika negara tersebut tidak “mengucap dua kalimah syahadah” iaitu meletakkan dasar bahawa tiada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah. Ringkasnya maksud kalimah syahadah ini menafikan adanya Tuhan, peraturan, kuasa, manusia, kebendaan atau perasaan serta nafsu yang lebih besar atau lebih mulia dari Allah SWT dan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam al-Qur’an dan apa jua yang disampaikan oleh Rasulullah saw.
Bagi mengelakkan salah-salah terhadap isu negara Islam ini, ada baiknya kita merujuk kembali sejarah ringkas kedatangan Islam di Malaysia.
SOROTAN SEJARAH ISLAM dan “NEGARA ISLAM” DI MALAYSIA
Sebelum Islam sampai ke Tanah Melayu, Melaka berada di bawah pengaruh Sriwijaya dan kemudian Majapahit. Menurut para ahli sejarah Malaysia, Islam sampai ke semenanjung ini sebelum abad ke-12. Ini berbeza dengan pendapat para penulis Barat yang menyatakan bahawa Islam bersinar di semenanjung sekitar abad ke-13 atau 14. Penelitian dibuat berdasarkan pada mata wang dinar emas yang ditemui di Kelantan tahun 1914 yang bertulis "Al-Julus Kelantan" dan angka Arab 577 H yang bersamaan dengan tahun 1181 M pada satu bahagian; dan pada bahagian sebelahnya bertulis "Al-Mutawakkil", iaitulah gelaran pemerintahan Kelantan pada masa itu. Malahan batu nisan tua bertulis Arab ditemukan di Kedah tahun 1963 pada makam Syeikh Abdul Kadir bin Syeikh Husin Shah Alam (w. 291 H). Kesemua ini menunjukkan bahawa abad ke 9 merupakan awal perkembangan Islam di kawasan Selat Melaka dan kawasan-kawasan yang menghadap ke Laut Cina Selatan, sebagaimana diakui Dinasti Sung (960-1279), bahawa masyarakat Islam telah tumbuh di sepanjang pantai Laut Cina Selatan.
Perkembangan Islam dan proses Islamisasi berlangsung melalui jalur perdagangan atas peranan para pedagang muslim dan mubaligh dari Arab dan Gujarat, para da’i setempat dan penguasa Islam. Sejak awal abad ke-7 Semenanjung Tanah Melayu dan Nusantara merupakan jalur perdagangan utama antara Asia Barat dan Timur Jauh serta kepulauan rempah-rempah Maluku. Semenanjung Tanah Melayu tidak dapat dipisahkan dari gugusan pulau-pulau Nusantara. Bila saudagar-saudagar Arab dan lainnya singgah di pelabuhan-pelabuhan Nusantara, mereka juga singgah di pelabuhan-pelabuhan di Semenanjung.
Proses perkembangan Islam terus berjalan baik dan kemudiannya membentuk komuniti-komuniti Islam serta melahirkan pusat-pusat pemerintahan Islam. Kerajaan Islam pertama di Semenanjung Tanah Melayu ialah Kerajaan Islam Kelantan (pertengahan abad ke-12).
Ini dapat dilihat pada batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang (Terengganu) yang bertarikh 702 Hijrah, di mana tulisan bahasa Melayu huruf Arab tentang hukum syara' yang wajib dipatuhi oleh rakyat di Kerajaan Islam Terengganu pada abad ke-8 H. (abad ke-14 M), antara lain menyatakan: “Wajib di atas Muslimin patuh kepada undang-undang Tuhan karena ia adalah perintah-perintah Allah yang berkuasa lagi mulia dan mengeluarkan hukum-hukum seperti ini wajib di atas sekalian raja-raja Muslimin untuk kebaikan negeri-negeri mereka. “ Negeri Kelantan di kenali sebagai “Serambi Mekah.” Manakala Terengganu pada abad ke-14 menjadi pusat penyebaran Islam di pantai timur Semenanjung Tanah Melayu dan sampai sekarang disebut "Darul Iman" (Negeri Iman).
Kerajaan Islam terkuat dan berpengaruh besar dalam menyebarkan Islam di Malaysia adalah Kerajaan Islam Melaka yang berdiri pada awal abad ke-15. Menurut Sejarah Melayu, rajanya yang pertama iaitu Parameswara Iskandar Syah, yang memeluk Islam tahun 1414 dengan gelaran Sultan Muhammad Syah. Sultan ini dan iparnya Pangeran Abdul Malik Syah bertanggungjawab dalam menyebarkan Islam. Penguasa pertama Pahang adalah putera sultan Melaka. Melakalah yang mengislamkan Kedah, Patani (kini menjadi wilayah di Thailand) dan Kelantan. Demikian juga Rokan, Kampar, Siak dan Inderagiri di Sumatera, semuanya menerima Islam dalam kedudukannya sebagai wilayah kekuasaan Melaka pada abad ke-15.
Hal ini menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan dan kubu keimanan Islam. Kerajaan ini juga dicatat sebagai kerajaan pertama di Malaysia yang memiliki undang-undang tertulis yang disebut Undang-Undang Melaka. Menurut Prof. Ahmad Ibrahim (guru besar hukum di Universiti Islam Internasional Malaysia, Kuala Lumpur), "Di negeri-negeri Melayu sebelum masuknya pengaruh kerajaan British, undang-undang asas atau undang-undang negeri ialah undang-undang Islam bersama adat Melayu." Melaka, ibu kota Kerajaan Melaka, dikuasai Portugis (1511-1641), kemudian Belanda (1641- 1795) dan sejak 1795 diperintah oleh British. Menjelang akhir abad ke-19, British juga menduduki wilayah-wilayah lain di Semenanjung.. Meskipun demikian, Islam tetap berkembang. Sepanjang penjajahan British, wujud institusi pendidikan, samada yang tradisional yang dikenali sebagai "pondok" atau pun yang moden, seperti Ma'had Mahmud (Kedah), al-Ma'had al-Muhammadi (Kelantan), Madrasah al-Sultan Zainal Abidin (Terengganu), Ma'had Johor (Johor), Kulliah al-Lugah wa ad-Din (Pahang) dan Kolej Islam (Selangor).
Setelah pendudukan Jepun (1941-1942), pihak British membentuk Malayan Union (1 April 1946) yang kemudiannya bertukar kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Seterusnya pada 31 Ogos 1957 Malaya memperoleh kemerdekaan dari British dan Islam ditetapkan sebagai agama rasmi. Pada16 September 1963 lahirlah pula Persekutuan Malaysia. Singapura menjadi anggota Persekutuan, tetapi memisahkan diri dan menjadi negara berdaulat penuh pada tahun 1965.
Di awal tahun 1980-an, Islam di Malaysia mengalami satu proses kebangkitan yang dapat dilihat dengan bersemaraknya kegiatan dakwah di semua peringkat, samada di pejabat, di padang bola, kilang, surau atau masjid. Oleh kerana kadar literasi sudah mulai meningkat, didapati semakin ramai orang Islam yang sudah boleh membaca dan memahami kandungan al-Qur’an yang boleh didapati terjemahannya dalam bahasa Melayu pada pertengahan 1970an. Malah terjemahan buku-buku mengenai Islam, gerakan Islam, dan kisah-kisah suka duka umat Islam di negara umat Islam oleh golongan intelek yang kembali dari timur tengah telah berjaya memperkayakan maklumat umat Islam untuk mendorong mereka mencetuskan satu proses tajdid yang panjang di Malaysia.
Berdasarkan kepada soroton sejarah secara ringkas ini, jelas menunjukkan bahawa “negara Islam” pernah wujud di Malaysia. Negara Islam yang dimaksudkan bukan sahaja pelaksanaan hukum hudud, tetapi merangkumi penghayatan Islam dalam urusan harian. Jika kita meneliti sorotan sejarah Islam di Malaysia, kita akan dapati bahawa perkataan “negara Islam” tidaklah menjadi sebutan yang popular pada masa lalu. Perkataan”negara Islam” dipopularkan kemudian oleh para alim ulama dan pimpinan gerakan Islam. Tetapi apa yang jelas ialah tercatat dalam sejarah di mana ada masyarakat, wilayah, negeri, dan negara yang melaksanakan pemerintahan dan pentadbiran cara Islam. Ini sudah cukup untuk melabelkan masyarakat, wilayah, negeri, dan negara berkenaan sebagai “negara Islam.”
KESAN PENJAJAHAN
Akibat penjajahan barat (Portugis, Belanda, British) ke atas Tanah Melayu yang pernah diperintah cara Islam, kita dapati bahawa sedikit demi sedikit penjajah memperkenalkan undang-undang barat yang berasaskan fahaman sekular. Apatah lagi dengan kemasukan pekerja-pekerja asing dari Cina dan India yang sengaja dibawa oleh penjajah, maka penjajah memberikan alasan bahawa udang-undang Islam tidak sesuai lagi dalam sesebuah masyarakat majmuk. Justeru penjajah memaksa rakyat di Tanah Melayu untuk menerima undang-undang barat. Bagaimanapun, rancangan penjajah ini telah mendapat tentangan yang hebat dari para alim ‘ulama Islam di Tanah Melayu.
Penentangan di Naning (1831-1832) yang dipimpin oleh Dol Said (Datuk Penghulu Abdul Said) bermula apabila penjajah memaksa kes jenayah diselesaikan mengikut undang-undang British. Penentangan di Perak berlaku apabila Undang-Undang 99 yang berteraskan Islam diketepikan oleh penjajah. Di Pahang pula, Dato’ Bahaman (orang Kaya Semantan), To’ Gajah (Imam Perang Rasul) Mat Kilau, Mat Kelubi, Panglima Muda Jempul, Mat Lela dan lain-lain lagi telah bangkit meniup semangat jihad menentang British apabila British memaksa rakyat untuk menerima undang-undang British dan mengenepikan undang-undang Islam.
Manakala di Kelantan pula, penentangan berlaku apabila British melaksanakan undang-undang bersabit dengan cukai hasil. Gerakan penentangan ini dipimpin oleh Tok Janggut (Haji Mat Hassan) dan Engku Besar Jeram (Tun Ahmad) serta dibantu oleh Haji Said, Penghulu Adam, da Ishak Mebau di Pasir Puteh. Di Terengganu, gerakan penentangan dimulakan oleh Sultan sendiri, kemudian dipimpin oleh Haji Abdul Rahman Limbong, Haji Musa Abdul Ghani Minangkabau, Syed Saggot, Tok Janggut (Lebai Deraman) dan lain-lain apabila British mengenepikan undang-undang Islam.
Gerakan Islah pula merupakan revolusi mental dan kesedaran Islam di kalangan masyarakat Islam yang dipelopori oleh golongan ulama’ seperti Syeikh Tahir Jalaludin Al-Azhari, Syed Syeikh al-Hadi, Haji Abbas Mohd Taha, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, Syeikh abu Bakar al-Ashaari, dan Haji Muhammad Ibrahim. Dan penentangan demi penentangan terus berjalan sehingga mengorbankan ramai syuhada dalam mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan peraturan dan hukum Islam
Bagaimanapun setelah penjajah berjaya menguasai politik tanah air sepenuhnya, penjajah telah mendidik rakyat (melalui program serangan pemikiran atau al-ghazwah fikr) dengan kefahaman sekular melalui sistem pendidikan, sistem kemasyarakatan, sistem ekonomi dan sistem pentadbiran. Akhirnya umat Islam sendiri salah faham terhadap Islam dan seterusnya tidak yakin dengan kebaikan dan keadilan Islam itu sendiri. Dan menjadi kelaziman bagi negara yang pernah dijajah di mana rakyat negara yang dijajah akan merasa hina dan rendah diri terhadap diri sendiri dan kepercayaannya (inferiority complex) dan memandang tinggi terhadap penjajah dan cara hidup serta sistem yang diamalkan oleh penjajah. Rakyat dididik supaya berkiblatkan barat atau timur dalam mengurus negara atau menyelesaikan sesuatu permasalahan tanpa mahu merujuk kepada Islam sebagai alternatif.
Pemikiran beracun yang dipupuk oleh kefahaman sekular peninggalan penjajah ke atas umat Islam dan rakyat di Malaysia telah menyulitkan usaha-usaha dakwah di negara ini khususnya apabila terdapat orang Islam sendiri yang menolak pembentukan “negara Islam.” Ini memberi peluang kepada orang bukan Islam yang tidak suka kepada Islam samada secara khusus atau tidak khusus, untuk turut sama menolak “negara Islam.” Ini bermakna golongan da’i menghadapi dua kumpulan sasaran yang memerlukan penjelasan mengenai “negara Islam.”
KESIMPULAN
Isu “negara Islam” bukanlah suatu yang baru dalam negara kita. Biarpun perkataan “negara Islam” tidak popular di zaman Nabi Muhammad saw mahupun di zaman awal pemerintahan Islam di Semenanjung sebelum berlaku penjajahan barat, kewujudan masyarakat, wilayah, negeri atau negara yang melaksanakan hukum dan peraturan serta penghayatan hidup cara Islam sepenuhnya telah terpahat dalam lipatan sejarah tanah air. “Negara Islam” pernah wujud. Kini umat Islam harus mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah di cipta di abad ke 15 Masihi. Ia harus bermula dengan individu Muslim sendiri seperti mana kata Hassan Al-Hudaibi, “tegakkanlah negara Islam dalam diri mu sendiri” dan ikuti dengan menegakkan “negara Islam” dalam negara. Ini sekaligus menuntut individu Muslim supaya memiliki kefahaman yang jelas tentang tasawwur negara Islam yang dimaksudkan, mampu berbicara dan berhujah mengenainya, mampu mempertahankannya, serta memperjuangkan. Ibn Taimiyyah menegaskan bahawa “Memimpin dan menguasai umat adalah kewajipan agama yang terbesar. Tidak akan terdiri agama kecuali dengan (kekuasaan pimpinan) itu . Oleh kerana Allah telah mewajibkan (kaum Muslimin) untuk menyuruh kepada yang baik, melarang dari yang mungkar, membela orang yang teraniya, melakukan jihad, melaksanakan hudud, dan berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman, semua itu tidak akan terlaksana tanpa kekuasaan dan teras kepimpinan.” (As-Siasah As-Syariah: 172)
No comments:
Post a Comment